ESPN Brazil melaporkan Ronaldinho bermain bola sepak setiap hari di penjaranya dan mengajar skill baru kepada banduan yang berminat.
Meskipun ‘sedih dan marah’ selepas dihukum penjara enam bulan tetapi bekas bintang Barcelona itu tetap gembira dengan layanan banduan lain yang mengidolakannya.
Ronaldinho dihukum penjara enam bulan dengan abangnya, Roberto de Assis atas kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk memasuki Paraguay.
Sejak memasuki penjara, Ronaldinho cepat membuat kawan baru melalui medium bola sepak.
Beliau diberi layanan istimewa di penjara tersebut, memberi autograf dan mendapat pengecualian minum alkohol – barang terlarang dalam penjara – di sana.
Sumber ESPN Brazil turut memberitahu walaupun marah dan sedih dengan nasib yang menimpa dirinya, Ronaldinho masih mampu keluar dari selnya setiap hari untuk bermain bola sepak.
Sebelum ini kami pernah melaporkan Ronaldinho membantu pasukannya menang 11-2 ke atas pasukan pengawal penjara Paraguay. Skill Ronaldinho membolehkannya menjaringkan lima gol dan menyumbang enam bantuan gol.
Ronaldinho dilaporkan direkrut masuk dalam pasukan banduan yang diketuai oleh Fernando Gonzalez Karjallo – bekas presiden kelab bola sepak divisyen satu Paraguay, Club Sportivo Luqueno.
Fernando dipenjara bersama bapanya, Ramon Gonzalez Daher yang juga merupakan bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Paraguay. Mereka dipenjara bersama-sama atas kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah.
Sebagai hadiah kerana menang, pasukan Ronaldinho mendapat hadiah makan malam daging babi.
Beberapa hari lepas, bekas penyerang River Plate Nelson Cuevas melawat Ronaldinho di penjara tersebut. Cuevas memberitahu Ronaldinho mahu cepat-cepat keluar.
“Dia sedih. Harapnya dia dapat cepat keluar. Dia sedih sebab situasi ini boleh dielakkan jika dia berhati-hati. Sekarang peguamnya sedang membantunya di luar penjara. Saya harap dia cepat keluar.”
Menteri Dalam Negeri Paraguay, Euclides Acevedo bagaimanapun menafikan Ronaldinho sedih.
“Berbanding banduan lain, Ronaldinho bagaikan duduk di hotel. Biliknya ada dua katil untuk dia dan abangnya.”
Cuevas bersetuju dengan kenyataan Acevedo. “Jika dibandingkan dengan penjara lain, ya [Ronaldinho agak selesa],” katanya.
“Tapi ini bukan situasi biasa untuk dia. Penjaranya besar. Mujur dia boleh main bola.”