Pernahkan anda mendengar nama Ron Saunders dalam bola sepak Inggeris? Sebelum itu, mari kita singkap kembali kejayaan luar biasa yang dicapai oleh Leicester City.
Siapa yang boleh menjangkakan Leicester City akan muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2015-16, untuk menafikan gergasi Inggeris yang lain seperti Manchester United, Manchester City, Arsenal, Chelsea, Liverpool atau pun Tottenham?
Kejayaan Leicester City menjuarai kejuaraan EPL pada musim 2015-16 dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa. 23 kemenangan, 12 kali seri dan hanya 3 kali tewas, cukup untuk kelab bola sepak yang sinonim dengan gelaran ‘The Fox’ mencipta sejarah baru luar biasa buat diri mereka.
Sepanjang musim tersebut, anak buah Claudio Ranieri menjaringkan 68 gol, dan hanya melepaskan 36 gol (purata 0.94 gol setiap perlawanan); dan mendaftarkan seramai 33 pemain untuk melalui musim yang menakjubkan tersebut.
Anda fikir pencapaian Leicester City pada musim 2015-16 sebagai luar biasa?
Tahukah anda bahawa Aston Villa turut pernah mengejutkan ramai pengikut bola sepak Inggeris pada musim 1980/81, dan melakukannya hanya dengan 14 pemain sepanjang musim?
Aston Villa pra musim 1980-81
Ketika era bola sepak Inggeris mula membawa pemain pada jam terakhir jendela perpindahan, pertukaran pemain di dalam kesebelasan utama, dan tahap kompetitif perlawanan sehingga sukar untuk seseorang pemain beraksi selama 90 minit dari minggu ke minggu, sukar untuk membayangkan sesebuah pasukan muncul juara liga hanya dengan 14 orang pemain.
Namun pada 1981, Aston Villa telah melakukannya untuk muncul juara Liga Inggeris buat pertama kali sejak 71 tahun sebelum itu sekaligus mengejutkan dunia bola sepak era tersebut.
Daripada 14 pemain yang Aston Villa miliki pada musim tersebut, 7 daripada mereka beraksi buat pertama kali dalam saingan kompetitif yang menampilkan 42 perlawanan (Divisyen 1 memiliki 22 pasukan) sepanjang musim.
Villa bukanlah pasukan yang bermasalah seperti yang mereka hadapi beberapa musim sebelum ini. Namun penyokong paling setia dan optimis dari kelab berkenaan sekali pun tidak akan sewenang-wenangnya meletakkan harapan mereka akan bersaing untuk kejuaraan Divisyen 1 Liga Inggeris- apatah lagi untuk memenanginya.
Aston Villa adalah antara kelab tertua di dalam bola sepak Inggeris. Kejayaan menjuarai Piala Liga 2 musim sebelumnya adalah kejayaan utama mereka setelah kejayaan merangkul Piala FA 23 tahun sebelum itu.
Di era tersebut, kelab seperti Liverpool, Tottenham dan Arsenal adalah gergasi yang sentiasa gah melaungkan ‘musim ini milik kami’ di setiap awal musim, menandakan sikap optimis akan dominasi mereka dalam bola sepak Inggeris.
Ianya tidak sedemikian untuk kelab seperti Aston Villa.
Malah kelab berkenaan kelihatan seperti sebuah kelab yang tidak punyai cita-cita dan harapan. Musim terdahulu mereka membenarkan penyerang bintang, Andy Gray ke Wolverhampton Wanderers.
Untuk rekod, Gray menjaringkan 54 gol daripada 113 perlawanan untuk Villa sebelum itu, namun ia masih tidak mencukupi untuk meyakinkan pengurusan Villa menghalang perpindahan Gray; juga satu perkara yang dipandang negatif oleh penyokong setia mereka.
Senjata rahsia Villa
Di sebalik keadaan kelab yang tidak menentu untuk meneruskan kempen musim 1980-81, Villa masih memiliki satu senjata rahsia di bilik persalinan mereka.
Senjata itu ialah pengurus Villa, Ron Saunders yang sangat dikenali kerana cara percakapannya yang sentiasa sopan dan lemah lembut. Perwatakan beliau mungkin tidak seperti bos kelab Liga Inggeris yang lain seperti Dave Sexton atau Bertie Mee yang sering mendapat perhatian media di era itu.
Saunders bukan jenis pengurus yang laparkan perhatian, tetapi lebih gemar untuk melihat pemainnya membuktikan keupayaan di atas padang.
Saunders bukan tidak menyedari barisan pemain individu di dalam pasukannya serba kekurangan dari segi bakat, kebolehan dan juga pengalaman untuk bersaing di liga utama bola sepak Inggeris.
Namun sebagai sebuah unit, mereka sukar diatasi. Kecergasan pemain yang dimiliki oleh Saunders memampukan Villa menewaskan mana-mana lawan ketika beraksi di atas padang.
Formula Ron Saunders
Di bilik persalinan, Saunders menerapkan mantra ‘all for one, one for all’ milik kisah 3 pahlawan Perancis yang sering kita dengar dan tonton dalam filem ‘Three Musketeers’.
Mantra ini memberikan kepercayaan kepada pasukannya bahawa mereka turut mempunyai kualiti yang sama untuk bersaing dengan pesaing yang lain.
Satu-satunya pemain bintang di dalam skuad Aston Villa pada musim itu ialah Peter Withe yang Saunders bawakan dari Nottingham Forest untuk menggantikan Gray.
Sebagai bekas juara liga, Withe memberikan pengalaman kepada skuad Villa, dan ternyata ia adalah perpindahan yang berbaloi buat musim Villa.
Di sebalik keyakinan yang dimiliki oleh Saunders, beliau tetap menghadapi kesukaran untuk memupuk keyakinan di dalam skuad bimbingannya itu. Apatah lagi selepas mereka kehilangan khidmat pemain utama, Brian Little ketika latihan pra musim akibat kecederaan.
Ini memaksa Saunders menyandarkan harapan kepada pemain muda Gary Shaw yang dinaikkan dari skuad simpanan. Nyata ia adalah taruhan yang memberikan pulangan apabila Shaw berjaya membentuk gandingan yang menggerunkan bersama Withe.
Taktikal 4-4-2 Saunders
Taktikal yang diterapkan oleh Saunders sangat mudah dipraktikkan oleh pemainnya. Beliau menerapkan sistem tradisional bola sepak Inggeris yang berpaksikan formasi 4-4-2.
2 pemain sayap laju beraksi di setiap sisi serangan. Manakala 2 lagi pemain tengah bertindak selaku jeneral menggerakkan ancaman dari tengah padang. Shaw dan Withe melengkapkan 2 penyerang utama milik Villa.
Bertindak sebagai pemain sayap ialah Tony Morley, yang gagal menyerlah pada musim pertama di Villa Park. Kepantasan dan kemahiran menggelecek Morley adalah ancaman buat lawan. Di bahagian tengah, Gordon Cowans dan juga kapten pasukan, Dennis Mortimer bertindak sebagai pemain tengah ‘box to box’
Menjelang perlawanan pertama musim tersebut, Saunders meniupkan kata-kata semangat kepada pemainnya:
“Penyokong akan memberikan sokongan 110%. Anda boleh bermain dan menang semua perlawanan, dan membuktikan mereka di luar sana silap tafsir akan kebolehan anda. Kita adalah pencabar kejuaraan!”
Saingan Divisyen 1 musim 1980-81
Ia kedengaran gila, namun Saunders berjaya melakukannya dengan Villa apabila mereka mencatat 3 kemenangan dan seri sekali dalam 4 perlawanan pertama di awal kempen; cukup untuk menarik perhatian lawan mereka.
Menjelang Krismas, Aston Villa tewas beberapa perlawanan penting yang boleh meranapkan impian mereka. Namun di saat mereka memerlukan kemenangan, mereka bangkit menewaskan Liverpool 2-0 pada 10 Januari 1981, untuk Villa mencatat 7 kemenangan berturut-turut selepas itu.
Jika ada pasukan yang mampu menghalang mereka pada ketika itu, maka Ipswich di bawah bimbingan Bobby Robson (gambar bawah) dilihat sebagai penghalang utama.
Tatkala saingan mulai menuju ke penghujung musim, kedua-dua pasukan dipertemukan dalam perlawanan yang dianggap sebagai penentu kejuaraan.
Malangnya Villa tewas 2-1 dalam perlawanan penuh epik tersebut, mengundang penganalis bola sepak di England menyimpulkan peluang Villa sudah pun berakhir.
Tetapi Ipswich turut mempunyai masalah mereka tersendiri dengan perlawanan separuh akhir Piala FA, saingan mereka di pentas eropah dan juga deretan kecederaan pemain utama yang mereka miliki.
Ipswich tewas 2 perlawanan selepas itu, manakala Villa menewaskan Nottingham Forest dan seri menentang Stoke untuk mereka semakin hampir meraih habuan kejuaraan.
Ipswich masih mempunyai kelebihan satu perlawanan ketika itu, namun gagal memanfaatkannya apabila tewas di tangan Manchester City- kekalahan ketiga dari 4 perlawanan terakhir untuk memastikan juara liga Divisyen 1 diarak ke Villa park buat pertama kali sejak 1910.
Aston Villa tewas perlawanan terakhir musim tersebut kepada Arsenal, namun ia sudah tidak boleh menghalang ribuan penyokong dari West Midlands membanjiri padang untuk meraikan kejayaan yang tiada siapa pernah fikirkan Villa mampu capai.
Rumusan
Kejayaan Aston Villa pada musim tersebut bukan sekadar mengenai kejuaraan liga yang mereka menangi. Lebih daripada itu ialah, semangat dan keingginan mereka untuk mencapainya. Ia adalah magis, keajaiban dan apa saja cara anda mahu menghuraikannya, ia tetap kejayaan yang luar biasa.
Des Bremner, Jimmy Rimmer, Ken McNaught, Mortimer, Morley, Cowans dan Swain beraksi kesemua perlawanan pada musim tersebut, manakala Shaw hanya terlepas 2 perlawanan, Allan Evans hanya tidak tampil dalam 3 perlawanan, manakala Withe hanya tersisih sebanyak 6 perlawanan.
Ron Saunders diingati oleh bola sepak Inggeris dan Aston Villa kerana kegigihan, semangat melawan luar biasa, corak permainan bola sepak yang tidak pernah mengenal lelah, diadun bersama kesungguhan.
Saunders hanya tahu satu perkara. Untuk berjaya, sesebuah pasukan perlukan corak pengurusan bola sepak yang stabil, seorang pengurus yang kenal dan tahu akan kebolehan pemain, yang merupakan aset utama kepada sebuah kejayaan. Ron Saunders betul mengenai perkara itu.