Romelu Lukaku yang sedang menikmati permulaan liga yang sangat baik bersama kelab barunya, Manchester United merasakan tiada apa yang perlu ditakutkan dengan kehadiran semula penyerang legenda, Zlatan Ibrahimovic ke kelab tersebut.
Penyerang antarabangsa Belgium itu tidak gusar berkenaan persaingan berdepan Zlatan bagi merebut tugas selaku penyerang yang akan membarisi kesebelasan utama pasukan.
Pemain berusia 24 tahun yang dibawa masuk Jose Mourinho dari Everton dengan nilai sekitar £75 juta itu telah menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan turut menghasilkan satu gol pada perlawanan Piala Super UEFA ketika bertemu Real Madrid.
Ini merupakan satu permulaan yang sangat memberangsangkan buat seorang penyerang.
Walaubagaimana pun, Lukaku bakal menerima saingan dari Zlatan Ibrahimovic yang ditawarkan semula kontrak selama setahun pada bulan lalu. Jose Mourinho turut mengesahkan bahawa bintang Sweden itu akan kembali pada Januari nanti.
Romelu Lukaku tidak khuatir mengenai perkara tersebut tetapi sebaliknya beliau berbangga kerana kelab (Manchester United) mempunyai pemain yang telah memenangi 31 trofi kejuaraan sepanjang karier gemilangnya.
Ketika ditanya mengenai persaingan berdepan Zlatan boleh meningkatkan prestasinya, beliau memberitahu kepada BBC. ”Sudah tentu. Anda tidak perlu takutkan persaingan, anda nikmatinya.
”Selagi ianya membuatkan anda jadi semakin baik, berikan kemenangan, nikmatilah segala cabaran yang datang.
”Saya memikirkan (dengan kehadiran semula Ibrahimovic) merupakan perkara yang baik buat pasukan, Sangat baik untuk pasukan mempunyai seorang lagi pemain yang ‘lapar’ untuk memenangi trofi, itu yang diperlukan di Manchester United.
”Dengan karakter yang dimiliki, personaliti dan sifat-sifatnya sebagai pemain bola sepak, dia mampu memberikan kami banyak benda dan kami akan cuba untuk membantu beliau.”
Di United, Lukaku kembali bekerjasama bersama Jose Mourinho yang sebelum ini menjual penyerang tersebut ke Everton pada penampilan kedua beliau membimbing Chelsea pada 2014. Namun Lukaku gembira untuk kembali bekerja di bawah pengendali dari Portugal itu.
”Saya mahu bermain dibawahnya (Mourinho) sejak berusia 11 tah. Ini merupakan peluang yang tidak boleh saya tolak dan saya bersyukur kerana mendapat peluang kedua,” kata Lukaku.
”Dia sentiasa menjadi orang yang sama, seorang lelaki yang mahukan yang terbaik buat semua pemain pada setiap hari. Dia tidak memberikan pemain masa untuk rehat di padang, dia mahukan semua pemain bersaing di padang dan dalam sesi latihan. Itulah yang saya suka mengenainya.”
”Dia juga seorang yang anda boleh bercakap dengannya dan apa sahaja yang anda katakan akan didengarinya, jadi saya sangat menyukainya.”
Sumber :
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-ng/news/lukaku-i-dont-fear-ibrahimovic-competition-i-relish-it/mq5rjjmuhf8b13fehuxfrqcax