Romelu Lukaku mendedahkan beliau pernah diherdik dengan gelaran sampah oleh Antonio Conte, untuk membangunkan beliau dari zon selesa sekaligus menampilkan aksi terbaik bersama Inter pada musim ini.
Penyerang berusia 26 tahun itu berkata kaedah tidak beri muka oleh Conte dalam mengendalikan pemain membenarkan beliau kembali menampilkan aksi terbaik pada setiap perlawanan.
Penyerang antarabangsa Belgium itu berhijrah ke kelab Serie A tersebut dari Manchester United pada nilai £75 juta pada musim panas lalu, dan sejak dari itu telah menjadi antara penyerang paling digeruni di Serie A.
Dianggap sebagai pemain yang gagal di Old Trafford, Lukaku kini telah mencetak 14 gol dari 20 perlawanan di Serie A pada musim ini.
Dan bagi Lukaku, semuanya itu adalah kerana mentaliti yang diterapkan oleh Conte demi memastikan setiap pemain mampu menampilkan kemampuan masing-masing.
Malah Lukaku mengaku beliau pernah digelar seperti sampah di hadapan pemain lain selepas aksi hambar sebelum ini. Perkara itu berjaya memastikan Lukaku kembali bangkit.
“Saya masih ingat dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Slavia Prague, dan saya bermain dengan buruk – ia seperti saya adalah sampah pada hari itu – dan saya diperkatakan sebegitu di hadapan semua pemain lain,” kata bekas pemain Everton itu.
“Beliau berkata saya benar-benar seperti sampah dan akan mengeluarkan saya selepas lima minit [perlawanan] jika mengulanginya.
“Ia perkara [teguran] kecil seperti itu [yang penting]. Dan kami [Inter] beraksi di derbi Milan selepas itu, dan saya menampilkan antara aksi terbaik saya pada musim ini.
“Beliau [Conte] hanya berkata sedemikian – ia kelihatan seperti menginjak keyakinan, tetapi hakikatnya ia membangunkan saya pada masa yang sama. Beliau melakukannya kepada setiap pemain, tanpa mengira siapa anda. Setiap pemain adalah sama.
“Perkara sebegini tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini. Ia tidak pernah berlaku.
“Pengurus [Conte] akan terus berhadapan dengan anda secara bersemuka jika anda melakukan kesilapan.”
Lukaku turut memberikan kredit kepada formasi permainan yang digunakan di Inter dan Belgium yang berjaya menampilkan prestasi terbaik dirinya.
“Apabila wujud banyak pergerakan di sekelilig saya, saya akan berada di tahap terbaik kerana akan mampu mencipta ruang untukk diri saya menerima hantaran akhir,” tambah Lukaku.
“Sistem sekarang di Inter adalah 3-5-2, manakala di Belgium ianya adalah 3-4-3 dimana pemain-pemain akan bergerak secara rapat dengan saya.
“Di Inter misalnya kami bermain dimana anda harus berada pada kedudukan tertentu. Akhirnya, jika anda berada di kedudukan yang betul, anda akan meraih peluang.
“Bersama Belgium, anda lebih bebas dan mempunyai lebih ramai pemain di keliling.”