Belgium mungkin turut dilabelkan sebagai pasukan pilihan bagi menjuarai Piala Dunia 2018 dengan kehadiran pemain-pemain berkualiti yang membarisi pasukan seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Nacer Chadli, Romelu Lukaku, Dries Mertens dan ramai lagi.
Barisan pemain yang dipilih juga memperlihatkan Belgium akan dibarisi para pemain yang mempunyai kualiti individu yang sangat baik.
Namun bagi pengurus Belgium, Roberto Martinez, para pemain bintang dalam pasukannya perlu memberikan kerjasama berbanding beraksi dengan lebih individu untuk menghadirkan gelombang hebat buat pasukan pada aksi di Rusia nanti.
Martinez berkata, Belgium tidak boleh terlalu mengharapkan bakat individu pemain seperti Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Dries Mertens sahaja untuk mencipta kejayaan dalam Piala Dunia.
”Apa yang baik mengenai generasi ini, mereka adalah sekumpulan pemain yang bersedia bekerja antara satu sama lain dan menjadi satu pasukan.”
“Saya tidak fikir kita perlu melihat lebih jauh daripada apa yang dapat kita capai sebagai pasukan dan pasukan itu dibuat oleh individu pemain yang cemerlang.”
”Tetapi itu mungkin apa yang perlu kita lakukan dengan lebih kuat dalam melakukan persiapan dimana kita boleh menambah semua kelebihan individu ini menjadi sebuah pasukan yang kuat tanpa mengharapkan hanya seorang pemain tunggal yang memenangi perlawanan.”
”Keadaan itu tidak akan membawa kita kemana-mana sekiranya itu yang kita harapkan,” jelas Martinez bercakap kepada Omnisport selepas kejayaan menewaskan Mesir 2=3-0 pada perlawanan persahabatan.
Belgium akan bertemu England, Tunisia dan Panama dalam aksi Piala Dunia 2018 untuk berada dalam kumpulan G.
Empat tahun lalu di Brazil, kemaraan Belgium terhenti di saingan suku akhir selepas kecundang ditangan Argentina hasil jaringan tunggal Gonzalo Higuain seawal minit ke-8 perlawanan.
Edisi 2018 mungkin Belgium bakal tampil dengan lebih garang!