Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan dirinya akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Beliau yang memegang jawatan tersebut sejak Februari tahun lalu akan menyampaikan niat tersebut di dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAS yang akan diadakan pada Khamis akan datang di Kelana Jaya.
Dalam laporan oleh New Strait Times (NST) pada hari ini, Subahan turut mengesahkan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar akan turut melepaskan jawatan beliau di dalam FAS.
Selepas perletakan jawatan kedua-dua disahkan, FAS dijangka akan memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membolehkan lantikan Presiden dan Timbalan Presiden dilakukan.
Menurut NST, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka akan dipilih sebagai Presiden FAS yang baharu bagi menggantikan Subahan.
Tengku Amir sebenarnya bukan watak asing di dalam bola sepak Selangor. Baginda selama ini sangat aktif di peringkat perkembangan akar umbi dan juga bola sepak komuniti di Selangor.
Ketika bercakap kepada wartawan, Subahan dipetik sebagai berkata:
“Iya, saya akan memberitahu ahli gabungan berkenaan hasrat saya meletak jawatan Khamis ini. Ketika ini, saya mempunyai banyak komitmen kerana saya juga presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Dalam hoki, saya mahu memberi tumpuan bagi membantu Malaysia layak ke Olimpik Tokyo 2020. Selain komitmen dalam sukan, saya juga perlu memberi tumpuan kepada perniagaan.
“Saya sebelum ini dalam perbincangan dengan kelab besar Liga Perdana Inggeris yang berminat untuk bekerjasama dengan Selangor. Saya akan hubungkan kelab itu dengan presiden baharu. Kelab itu mahu membina jenama mereka di rantau ini dan berupaya membantu Selangor daripada segi kewangan.
“Kesemua perbelanjaan yang tertunggak akan diselesaikan minggu ini. Saya akan terus menyokong Selangor sebagai peminat setia. Satu penghargaan buat saya dapat berkhidmat untuk FAS.”
Dalam sidang media yang sama, Subahan juga menegaskan pasukannya telah melakukan yang terbaik untuk bola sepak Selangor.
Selangor FA adalah salah sebuah pasukan Liga Malaysia yang tidak mendapat sokongan Kerajaan Negeri. Pertelingkahan di antara Kerajaan Negeri dan FAS turut menyebabkan Selangor FA hilang hak sebagai tuan rumah di Stadium Shah Alam.
“Saya tidak setuju jika dikatakan kami tidak menunjukkan prestasi baik tahun ini. Mungkin kedudukan kami di tangga kesembilan tetapi saya percaya pasukan akan berada dalam kelompok enam terbaik menjelang akhir musim.
“Kita juga berjaya mara ke separuh akhir Piala FA dan jika berjalan lancar, kelab mungkin ke final dan memenanginya. Seperti yang saya katakan kepada peminat dan pengkritik sebelum ini, jangan harapkan keajaiban dari Selangor musim ini.
“Kami mengambil risiko dengan menaikkan pemain-pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan mereka beraksi dengan baik dalam liga. Perancangan kami untuk memberi pendedahan musim ini dan saya yakin dalam tempoh tiga tahun mereka layak mewakili negara,” katanya.