RMS Bidas Cubaan ‘Serigala Berbulu Domba’ Mahu Rampas Kuasa Di Dalam FAS

Kemelut dalaman yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengundang presiden badan bola sepak itu, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk bersuara.

Tengku Amir, yang juga merupakan Raja Muda Selangor (RMS) melalui satu kenyataan rasmi FAS melahirkan perasaan terkejut, dan dukacita baginda terhadap memorendum supaya diadakan Kongres Luar Biasa (EGM).

Memorentum tersebut dikatakan telah dihantar oleh ahli gabungan FAS bertujuan untuk mendesak FAS mengadakan EGM bertujuan untuk melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan Presiden.

RMS tidak perkenan EGM

Melalui kenyataan itu baginda berterus terang menyatakan tidak bersetuju untuk EGM diadakan.

Menurut baginda, pengurusan FAS pada hari ini telah memulakan kerja dengan sangat baik sejak tiga bulan lalu dengan pelbagai usaha untuk mengelakkan ketirisan, merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif .

Malah baginda percaya tindakan pasukan pengurusan yang baru ini menyoal perkara-perkara yang terdapat kesangsian telah membuat beberapa orang merasa tidak selesa.

Manipulasi pihak tertentu

Bagaimanapun RMS tidak menyalahkan ahli gabungan yang terlibat dalam memorendum tersebut, dan percaya mereka hanya dimanipulasi oleh individu-individu tertentu.

“Akan tetapi Beta tidak menyalahkan Ahli Gabungan kerana Beta percaya mereka telah dimanipulasi, ditipu malah diugut oleh beberapa individu untuk menandatangani memorandum tersebut,” ujar baginda mengenai tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan dengan itu, RMS turut mendakwa individu-individu yang dilabel oleh baginda seperti serigala berbulu domba hanya mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri dan bukan untuk menyumbang kepada bola sepak Selangor atau pun FAS.

Ini berikutan tindakan individu-individu tersebut yang mengambil kesempatan menggunakan Statut (perlembagaan) FAS yang telah diolah oleh mereka untuk melindungi mereka sendiri.

Perkara lain yang menyebabkan baginda murka ialah kerana wujud kelompok dalaman di kalangan ahli Exco FAS turut menyokong gerakan memaksa FAS mengadakan EGM tersebut.

Sehubungan dengan itu, RMS turut menjawab semua enam sebab yang digariskan oleh gerakan tersebut untuk menganjurkan EGM adalah tidak munasabah.

Berikut adalah sebab EGM perlu dilakukan dan jawapan dari baginda seperti di dalam kenyataan yang disiarkan pada hari ini:

Enam Sebab Yang Diberikan Dalam Memorandum Untuk Memanggil Kongres Luar Biasa

Sebab pertama yang diberi:
“Kami tidak berpuas hati apabila wakil Ahli Gabungan telah dibuang dari menjadi ahli jawatankuasa di dalam Jawatankuasa Tetap FAS dan kami adalah tunjang kepada penubuhan FAS selama ini”

Jawapan Baginda:
Ahli jawatankuasa di dalam Jawatankuasa Tetap FAS telah dicadangkan di dalam mesyuarat Exco yang dihadiri oleh kesemua ahli, dan tiada sebarang bantahan atau cadangan lain yang telah diutarakan semasa mesyuarat tersebut. Untuk pengetahuan semua, masih ramai lagi wakil Ahli Gabungan berada di dalam Jawatankuasa- jawatankuasa Tetap. Kesemua perlantikan ini adalah berlandaskan Statut FAS dan tidak melanggar mana-mana peraturan atau syarat. Maka pada itu, sebab pertama yang diberikan ini adalah sangat lemah dan menunjukkan dalang-dalang ini menentang usaha pembaharuan yang FAS sedang lakukan.

Sebab kedua yang diberi:
“Kami wakil Ahli Gabungan telah tidak dijemput apabila FAS menganjurkan bengkel pada bulan Ogos mengenai halatuju FAS sedangkan kami adalah pemegang taruh bagi FAS. Kami adalah sebahagian dari kelab yang terlibat dalam penubuhan FAS. Tindakan pengurusan FAS ini telah menghina kami sebagai Ahli Gabungan dan kami tidak dapat menerima kecuaian FAS tersebut.”

Jawapan Baginda:
Tiada sebarang penghinaan yang telah dilakukan. Antara tujuan mengadakan bengkel tersebut adalah untuk mendapat idea dan penyelesaian ‘outside the box’ dan buat pertama kalinya FAS mengambil langkah untuk menerima maklumbalas secara lebih terbuka. Individu dan organisasi yang telah dijemput terdiri daripada golongan profesional dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai aspek bidang berkaitan pengurusan bola sepak.

Tambahan pula, FAS juga sudah memaklumkan kepada Ahli Gabungan di mana fasa kedua bengkel ini akan diadakan bersama anda semua secara khas. Surat ini telah dihantar pada bulan lepas.

Pengurusan bengkel ini diadakan seperti demikian untuk mendapat input yang terbaik daripada kesemua pihak. Sekiranya semua disatukan, kami khuatir suara Ahli Gabungan akan tenggelam dan lebih teruk lagi tidak diambil endah. Peluang untuk ahli gabungan menambahbaik idea akan dibuka tidak lama lagi.

Sebab ketiga yang diberi:
“Kami telah mengambil maklum bahawa perlantikan dua (2) orang Naib Presiden yang telah dilantik pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan pada 10hb Julai 2018 telah melanggar peruntukan Artikel 34.7 Statut FAS. Oleh yang demikian, perlantikan Encik Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon sebagai Naib Presiden FAS adalah tidak sah oleh kerana kedua-dua mereka tidak mewakili mana-mana ahli FAS dan oleh yang demikian, semua mesyuarat yang dihadiri oleh mereka juga adalah terbatal dan tidak sah.”

Jawapan Baginda:
Jelas kelihatan dalang-dalang yang terlibat langsung tidak kaji selidik, membuta-tuli menuding jari tanpa fakta. Kedua-dua Naib Presiden tersebut sudah terlebih dahulu memperoleh keahlian daripada Ahlli-ahli Gabungan yang sah sebelum dilantik. Ternyata Ahli-ahli Gabungan yang menyokong pergerakan mereka ini tertipu kerana tidak diberikan maklumat atau fakta yang tepat. Beta lampirkan bukti keahlian mereka bersama surat ini.

Sebab keempat yang diberi:
“Kami dapati, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif sekarang telah gagal untuk memberikan nasihat yang betul dan tepat kepada DYTM Tuanku Presiden untuk mendukung perkara- perkara di dalam Statut FAS (perlembagaan)”

Jawapan Baginda:
Sekali lagi, tuduhan seperti ini tidak mempunyai asas atau bukti malahan sebarang contoh juga tidak diberikan. Kesemua perbincangan dan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Exco yang dihadiri oleh semua ahli, kesemua langkah-langkah pembaharuan untuk FAS yang telah diambil tidak melanggar mana-mana perkara yang ternyata di dalam Statut FAS. Kenyataan liar sebegini harus ditolak sekeras-kerasnya kerana ia mendatangkan ketidakstabilan Persatuan dan menjejaskan pelbagai aspek pengurusan.

Sebab kelima yang diberi:
“Kami sebagai Ahli Gabungan dan pemegang taruh bagi Persatuan Bolasepak Selangor yang telah sebulat suara memilih DYTM Raja Muda Selangor sebagai Presiden tempoh hari. Kami juga dimaklumkan bahawa DYTM Tuanku seorang sahaja akan masuk ke dalam FAS tetapi kini beberapa lantikan lain telah dibuat dan Ahli Gabungan dipinggirkan begitu sahaja. Kami percaya perkara tersebut terjadi oleh kerana terdapat agenda tersembunyi oleh beberapa ahli jawatankuasa eksekutif.”

Jawapan Baginda:
Sekali lagi, dakwaan liar seperti ini tidak boleh diterima. Tiada sebarang contoh yang diberikan apabila melontarkan fitnah mengatakan adanya agenda tersembunyi tersebut. Sepatutnya semua ahli jawatankuasa eksekutif bekerjasama demi kebaikan FAS, malangnya dalang-dalang ini hendak memecahbelahkan kita semua.

Beta mencadangkan perlantikan tiga orang baharu untuk membantu dalam proses mentransformasikan FAS dan ianya telah diterima sebulat suara semasa mesyuarat Exco. Ianya juga tidak melanggar mana-mana perkara di dalam Statut dan walaupun dengan perlantikan baharu tersebut, majoriti besar ahli Exco iaitu sebanyak 80% merupakan barisan kempimpinan lama yang telah dipilih semasa Mesyuarat Agung FAS pada Februari 2017.

Sebab keenam yang diberi:
“Kami juga dapati Tuan Setiausaha Agung dengan sewenang-wenangnya menjanjikan status Ahli Gabungan kepada kelab baharu tanpa melalui proses menjadi kelab jemputan selama tiga (3) tahun dan perlu mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif.”

Jawapan Baginda:
Tomahan ini adalah satu tuduhan yang sangat serius dan tidak boleh diterima sama sekali oleh Beta. Statut FAS harus diberi keutamaan dan mana juga tindakan atau keputusan hendaklah berdasarkan Statut FAS yang kita semua hormati. Dalang-dalang tersebut tidak boleh sewenang-wenangya membuat pertuduhan sebegini yang seolah-olah mengatakan Beta dan Setiausaha Agung tidak mengendahkan Statut FAS, dan secara langsung menimbulkan kesangsian diantara kami dan Ahli Gabungan.

Penutup

Sehubungan dengan itu, Tengku Amir mahukan semua pihak termasuk ahli gabungan sedar akan perkara sebenar.

Baginda juga menyeru para penyokong bersatu di belakang pengurusan FAS sedia ada untuk menentang sebarang percubaan rampasan kuasa di dalam badan bola sepak negeri Selangor itu.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN