Menurut laporan Daily Mail, pemain sayap Leicester City, Riyad Mahrez sah akan melalui pemeriksaan kesihatan bersama Manchester City dalam masa 48 jam lagi.
Perbincangan antara kedua-dua kelab dikatakan sudah selesai dengan nilai perpindahan dikhabarkan sekitar £60 juta. Ia pengurangan sebanyak £40 juta berbanding Januari lalu.
Foxes pada Januari lalu telah meletakkan tanda harga £100 juta ke atasnya yang sentiasa menarik perhatian kelab-kelab besar di jendela perpindahan dan telah menolak bidaan City.
Ekoran itu, Mahrez telah memberontak dan melakukan mogok dengan tidak turun ke sesi latihan selama dua minggu selepas perpindahannya ke City itu gagal direalisasikan.
Dia juga telah didenda pomotongan gaji oleh kelab akibat tindakan kurang profesionalnya itu kerana didapati berada di Algeria bersama keluarga dan rakan-rakannya.
Mahrez bagaimanapun akhirnya kembali dan mengakui kesilapan dan membayar kekesalannya itu dengan satu gol menarik ketika seri 1-1 menentang Bournemouth.
Beliau menamatkan musim lalu dengan 12 gol bersama Foxes dan merekodkan 39 jaringan daripada 139 penampilan sepanjang beraksi di Liga Premier Inggeris (EPL).
Mahrez telah membantu Leicester dalam meraih gelaran liga pada musim 2015/16 serta layak sehingga ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk musim 2016/17.
Kini, perpindahannya hanya menanti saat dan ketika dia melepasi sesi pemeriksaan kesihatan serta Mahrez dijangka akan rasmi menyertai The Citizens pada minggu hadapan.
Mahrez sehingga kini belum bersama skuad Leicester dalam sesi latihan pra-musim kerana telah diberikan cuti tambahan oleh pihak pengurusan, mungkin atas faktor perpindahan ini.
Sementara itu, Leicester dikatakan sudah beralih kepada babak baharu kehidupan mereka selepas Mahrez. Mereka kini sudah memiliki pemain B-21 England, James Maddison.
Menyertai daripada Norwich City, Maddison telah menandatangani kontrak selama 5 tahun pada Jun lalu. Dia merupakan antara pemain terbaik di liga Championship pada musim lalu.