Risto Vidakovic Bakal Direhatkan Selepas Dedah Hal Dalam Kelambu Melaka United?

Risto Vidakovic direhatkan Melaka United 2022

Adakah pengendali Melaka United, Risto Vidakovic bakal menjadi jurulatih pertama Liga Super direhatkan atau pun mungkin disingkir selepas mendedahkan tentang masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan?

Menurut maklumat yang dikongsi oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitternya malam tadi, pengendali baharu musim ini bersama Melaka United itu dijangka akan direhatkan dan tempatnya akan diambil alih sementara oleh pembantunya, Asri Ninggal bermula pada hari ini. Belum ada pengumuman rasmi dibuat.

Namun, kemungkinan besar khabar ini ada kebenarannya apabila sebelum ini, Risto Vidakovic telah diberikan amaran keras oleh pemilik kelab, Datuk Seri Justin Lim. Dan langkah seterusnya dikatakan akan dimaklumkan.

Khabar ini dilihat menjadi semakin kuat dan kukuh dengan perkongsian wartawan senior di Astro Arena, Hafizal Hamad yang dilihat turut membuat ciapan di Twitternya tentang isu yang sedang hangat dengan kenyataan, “Eh! Eh! Seorang jurulatih pasukan Liga Super sedang disiapkan untuk “DIREHATKAN”. Kena buang la tu.”

Dipecat atau tidak, tidak dapat dipastikan selagi tiada hitam putih daripada pihak pengurusan pasukan, namun terma direhatkan itu sudah sangat sinonim dengan bola sepak Malaysia yang membawa maksud dipecat.

Sebelum itu, Risto Vidakovic mengeluarkan kenyataan tentang masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan sehingga menyebabkan prestasi Melaka United terumbang ambing di awal saingan Liga Super musim ini. Kenyataan itu dikeluarkan ketika skuad Hang Tuah tumbang 0-1 kepada Sabah FC pada Selasa.

Kenyataan Risto Vidakovic berbunyi agak keras apabila mengatakan ini kali pertama ia berlaku dalam kariernya.

“Sepanjang menjadi pemain profesional sejak usia 17 tahun hingga menjadi jurulatih pada usia 53 tahun, ini situasi pertama [tidak dibayar gaji] yang saya hadapi. Saya dapat tahu ada pemain tidak menerima gaji antara dua hingga tiga bulan. Ada juga pemain datang ke MU hingga kini tidak mendapat apa-apa bayaran.”

Risto Vidakovic, Utusan Malaysia

Tambahnya lagi, situasi ini yang menyukarkannya untuk bekerja dan tiada semangat untuk melatih pasukannya.

Melaka United kemudian telah mengesahkan tunggakan hanya sebulan, bukan tiga bulan seperti dikatakannya.

Melaka United dilihat memiliki senarai pemain yang ampuh pada musim ini, ditambah pula dengan reputasi penyerang terbaik Liga Malaysia, Ifedayo Olusegun yang telah menyertai mereka untuk saingan musim 2022.

Begitupun, Ifedayo Olusegun masih belum berhasil meledak jaringan gol selepas empat perlawanan, malah skuad Hang Tuah juga belum berjaya meraih tiga mata lagi. Mereka berada di kedudukan ke-10 liga dengan hanya satu mata – selepas meraih keputusan seri berdepan Penang FC pada awal Mac yang lalu.

Penyertaan Risto Vidakovic juga sebelum ini telah menimbulkan khabar kurang enak pada awal musim lalu apabila bekas pasukannya, Borneo FC mengatakan beliau tidak jujur ketika ‘angkat kaki’ tinggalkan mereka. Alasannya enggan berjauhan daripada keluarganya, tetapi tiba-tiba diumumkan menyertai Melaka United.

Adakah Risto Vidakovic bakal direhatkan oleh Melaka United selepas hanya mengemudi empat perlawanan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN