Perak FC dilaporkan bergelut dengan masa untuk melangsaikan hutang sebanyak RM1,773,532.50 sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain saingan Liga Malaysia 2022.
Menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris New Strait Times, jumlah hutang tersebut meliputi gaji pemain skuad utama, pemain Piala Presiden dan juga daripada pasukan Piala Belia.
Daripada jumlah itu sebahagian besar adalah gaji pemain import iaitu Jeon Hyo Seok sebanyak RM419, 080; Leandro Dos Santos RM614,301.44 tidak termasuk 5% faedah tambahan; Raianderson de Costa Morais RM526,953.92 dan 5% faedah.
Perak FC reaches settlement over players' unpaid salaries. The club adds: "Even though a letter of undertaking has been issued, it is likely that majority of players will individually sign this agreement upon the issuance of the first payment scheduled Dec 31." pic.twitter.com/RTZBeEdKyO
— Twentytwo13 (@Twentytwo13news) December 28, 2021
Perak FC dilaporkan turut berhutang dengan ejen pemain, Valdir de Saouza sebanyak RM213,730.80. Kes tersebut kini dilaporkan berada di bawah bidang kuasa Perseketuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pada Disember tahun lalu Perak FC dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan pemain mengenai pembayaran tunggakan gaji pada musim lalu. Namun tidak semua pemain dipercayai setuju dengan terma yang diberikan sehingga mendatangkan implikasi baharu kepada kelab.
Implikasi hukuman FIFA
Gagal membuat rayuan berdasarkan tarikh yang ditetapkan bermakna kelab itu kini terpaksa mencari jalan untuk melangsaikan kesemua hutang tersebut.
Kegagalan berbuat demikian bermakna Perak FC tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2022.
Bukan sahaja kelab itu tidak dibenarkan mendaftar pemain import dan tempatan, malah kelab yang beraksi di saingan Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah penubuhannya itu juga tidak dibenarkan mengambil pemain secara pinjaman.
Hukuman ini juga akan digunapakai meliputi skuad Piala Presiden dan Piala Belia kelab tersebut.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar yang telah mengambil tindakan mengadakan pertemuan tertutup dengan pihak pengurusan Perak FC untuk mencari jalan menyelesaikan kemelut kewangan tersebut.
Kegagalan melangsaikan hutang tersebut bermakna Perak FC terpaksa menharungi saingan musim akan datang menggunakan 14 atau 15 pemain sahaja.
Risiko tersingkir liga?
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam pula menegaskan perkara itu adalah di luar bidang kuasa badan itu kerana berada di tangan FIFA.
Namun demikian pihak MFL akan cuba sedaya upaya membantu Perak FC untuk terus kekal bersaing di Liga Malaysia pada musim ini.
Berdasarkan peraturan semasa, setiap pasukan yang bertanding di Liga Malaysia harus mendaftar minimum 20 pemain. Tidak dapat dipastikan sama ada MFL akan memberikan pengecualian untuk Perak FC sekiranya pasukan itu tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu selepas ini.
Tanpa Perak FC, saingan Liga Premier hanya akan memiliki sembilan pasukan termasuk skuad projek FAM, dan tiga kelab simpanan (feeder).