Tidak ada sesiapa yang akan menyalahkan anda kerana tidak mengenali nama Richarlison setahun yang lalu.
Masihkan anda ingat? Ketika Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai saingan pada musim lalu, Watford mengejutkan ramai apabila berjaya mengikat pasukan gergasi Liverpool dengan jaringan 3-3.
Watford mendahului kelab Merseyside itu 2-1 pada ketika nama Richarlison diumumkan sebagai pemain gantian pada minit ke-49 perlawanan.
Richarlison de Andrade
Richarlison de Andrade dilahirkan pada 10 May 1997 dan berasal dari Nova Venécia, Brazil. Beliau hanya berusia 20 tahun ketika tiba di England.
Bola sepak telah membawa anak muda ini berada jauh dari perantauan.
Dan perjalanan hidupnya seperti ianya sudah ditakdirkan, bahawa satu hari nanti beliau akan bergelar pemain skuad Seleção.
Karier awal
Segalanya bermula sukar buat Richarlison. Bandar kelahiran beliau terkenal dengan aktiviti penjualan dadah, dan penggunaan senjata agak berleluasa.
Di usia remaja, Richarlison bekerja untuk duit poket beliau sendiri. Apa yang akan dilakukan saban hari ialah menolak kereta sorong sambil menjual aiskrim dan barangan lain sambil mengambil upah dari mencuci kereta di sekitar bandar.
Di masa lapang, Richarlison akan bermain bola sepak di jalan-jalan atau lorong-lorong sekitar bandar seperti mana kanak-kanak lain di Brazil.
“Saya juga bekerja dengan sebuah pemilik kedai. Saya akan keluar dengan barangan dari kedai, dan akan kembali menjelang senja.”
“Apa saja yang terjual, akan ada peratusan untuk saya sebagai upah,” ujar Richarlison kepada Daily Mail dalam satu temuramah ketika berkongsi kisah hidupnya.
Kehidupan di Nova Venécia bukan sahaja sukar, tetapi juga mencabar. Nyawa Richarlison pernah berada di hujung tanduk, selepas diacukan pistol di kepala oleh pengedar dadah yang tersilap identiti.
Beliau pada mulanya dituduh mencuri dadah milik kumpulan tersebut. Mujurlah beliau sempat menyelamatkan diri.
Tatkala ramai rakan sebaya yang lain terjebak dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap dan dadah, Richarlison sedar beliau perlu pergi jauh untuk memiliki sebuah kehidupan.
Karier awal
Demi merealisasikan impian di dalam bola sepak, Richarlison terpaksa meninggalkan kampung halaman sejauh ratusan batu.
Pada mulanya Richarlison membawa diri untuk menyertai uji bakat bersama Figueirense, tetapi beliau gagal meyakinkan kelab tersebut.
Enggan berputus asa, Richarlison kemudiannya menghadiri sesi uji bakat bersama America Miniero dan dari situlah segalanya bermula.
Kegigihan dan keazaman yang dimiliki oleh Richarlison kemudiannya berjaya membuahkan hasil apabila dipanggil untuk bersama Fluminense di liga utama Brazil, selepas hanya semusim di Miniero.
Mempunyai susuk tubuh yang sasa, membuatkan Richarlison terus mendapat tempat di dalam skuad utama pasukan Serie A Brazil itu.
Juga di dalam tempoh semusim, aksi Richarlison pantas mencuri tumpuan kelab-kelab di eropah, setelah hanya tampil di dalam 42 perlawanan, dan menjaringkan 9 gol untuk Fluminense.
Corak permainan
Mana-mana pemain bola sepak dari Brazil yang beraksi di eropah atau England, pasti akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Perkara sebaliknya yang dialami oleh Richarlison. Dan ia harus berkaitan dengan corak permainan yang dimiliki oleh pemain ini.
Ronaldo, Ronaldinho atau pun Neymar adalah contoh beberapa pemain Brazil yang memiliki skill individu yang tinggi. Richarlison menawarkan aspek lain melalui permainannya.
Disebabkan kekuatan fizikal yang dimilikinya, Richarlison gemar bersaing satu dengan satu dengan pemain pertahanan lawan secara fizikal, termasuk perebutan bola di udara.
Richarlison boleh bermain di peranan No.10, penyerang kedua dan juga penyerang sayap.
Bukan sahaja pemain ini memiliki sentuhan samba sebagaimana pemain kelahiran Brazil yang lain, kekuatan tubuh badannya membuatkan beliau gemar bersaing dengan pemain pertahanan secara lebih fizikal, termasuk dalam perebutan bola tinggi.
Mentaliti yang dimiliki oleh beliau juga ditampilkan di dalam permainan sekaligus menghasilkan corak permainan agresif dan combative.
Maka tidak hairanlah mengapa pada musim lalu, Richarlison menjadi pemain yang paling kerap dikasari pemain pertahanan lawan yang melihat beliau sebagai ancaman utama.
Dari Campeonato Brasileiro Série A ke Premier League
Semusim di Atletico Moneiro dan Fluminese, Richarlison kemudiannya ke Premier League bersama Watford.
Watford bukan satu-satunya pilihan ketika pemain ini mengambil keputusan untuk meneruskan karier di Eropah.
Sebelum itu Ajax terlebih dahulu telah membuat tawaran kepada beliau. Bagaimanapun tawaran oleh Ajax ditolak oleh Richarlison.
Richarlison tidak membuang masa untuk menyesuaikan diri di Watford.
“Beliau adalah pemain sensasi, dan pemain muda yang baik. Beliau adalah pemain yang sentiasa bekerja keras dan sentiasa bersemangat untuk memulakan latihan. Beliau pasti akan berjaya di England,” ujar bekas jurulatih Fluminese, Abel Braga.
Marco Silva
Marco Silva adalah antara individu yang paling dipercayai oleh Richarlison sejak tiba di England.
Malah keputusan untuk menolah tawaran Ajax untuk menyertai Watford adalah hasil pengurus dari Portugal itu.
Menurut ejen kepada Richarlison, Renato Velasco, pengurus Watford pada ketika itu, Marco Silva telah menghubungi pemain tersebut secara peribadi, sejurus sebelum tawaran dari Ajax dimuktamadkan.
“Kami percayakan kebolehan anda. Anda juga mempunyai segalanya untuk beraksi di sini. Mari sertai kami,” ujar pengendali dari Portugal itu.
Silva turut meyakinkan Richarlison bahawa Heurelho Gomes yang juga berasal dari Brazil akan membantu beliau menyesuaikan diri.
Silva tidak bercakap kosong apabila berkata demikian. Watford dikatakan menyediakan masakan Brazil khas untuk Richarlison.
Richarlison juga ditempatkan untuk tinggal bersama Velasco, untuk memastikan pemain tersebut menyesuaikan diri secepat mungkin dengan persekitaran baru.
Dari Watford ke Everton
Setelah hanya semusim di Vicarage Road selepas menyertai Watford dari Fluminese dengan tanda harga £11.2 juta, Richarlison sekali lagi berhijrah, kali ini ke Goodison Park untuk menyertai Everton pada musim panas lalu.
Perpindahan ke Everton sememangnya sudah dijangka setelah Marco Silva turut mengubah angin menyertai kelab dari Merseyside itu terlebih dahulu.
Beliau merupakan sasaran utama Marco Silva. Ada laporan menyatakan yang Silva meletakkan syarat membawa Richarlison sekiranya Everton mahukan khidmat beliau.
Tiba dengan tanda harga £40 juta, ramai bertanggapan tanda harga tersebut terlampau mahal untuk pemain seperti Richarison.
Walaupun layangan kad merah dalam perlawanan menentang Bournemouth sedikit merencatkan permulaan di Everton, namu tiga gol jaringan Richarlison setakat ini jelas adalah amaran awal pemain ini sudah bersedia untuk membuktikan dirinya selepas ini.
Selecao
Menjadi impian mana-mana pemain untuk menyarung pasukan negaranya. Begitu juga dengan Richarlison. Hanya pada Julai lalu beliau menyatakan niat untuk beraksi bersama negaranya.
Namun disebabkan oleh bakat yang ada di Brazil dan usia beliau, tidak ramai yang menjangkakan Richarlison akan mendapat panggilan daripada Tite seawal ini.
Namun satu lagi khabar gembira untuk pemain Everton itu apabila nama beliau berada dalam senarai panggilan kebangsaan Brazil abru-baru ini.
Richarlison akan bersama Brazil dalam tugasan antarabangsa berhadapan Amerika Syarikat dan El Salvador pada September ini.
Nama Richarlison dipanggil untuk menggantikan penyerang Fluminese, Pedro yang mengalami kecederaan.
Rumusan
Jika kita perhatikan perjalanan hidup dan karier Richarlison, semuanya berlaku dengan pantas sekali.
Pernah diacukan pistol di jalanan Nova Venécia, Richarlison memulakan karier profesional kurang 4 tahun yang lalu bersama America Miniero.
Berjaya mencuri tumpan ketika bersama Fluminese, beliau kemudiannya terbang ke England, sebelum menyertai Watford dengan tanda harga £40 juta.
Soalan berikutnya ialah, adakah Richarlison sememangnya ditakdirkan menjadi bintang Brazil yang seterusnya?