Rezal Cadang Pemain Terlibat Rasuah Digantung Seumur Hidup

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan dua pemain skuad Sarawak yang beraksi di saingan 100Plus Liga Premier telah dicekup oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan dalam pertemuan menentang Felcra FC pada hari Sabtu lalu.

Laporan yang turut dikongsi oleh beberapa portal online di negeri tersebut turut menjelaskan dua pemain itu adalah pemain tempatan, dan telah beraksi bersama skuad utama Sarawak sejak beberapa musim.

Turut ditahan oleh pihak SPRM adalah seorang lagi individu yang tidak dikenali, dipercayai orang tengah yang berperanan sebagai ‘bookie’.

Mengulas mengenai isu tersebut, Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya mencadangkan agar pemain yang didapati bersalah mengatur perlawanan harus ditamatkan kontrak serta-merta dan digantung daripada bermain bola sepak seumur hidup.

Rezal bercakap kepada Kosmo, tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas pemain ini supaya barah rasuah tidak merebak ke pasukan lain sekaligus mencemarkan imej Liga Malaysia.

“Mana-mana pihak mahupun persatuan bola sepak ini tidak harus berkompromi dengan pemain yang melakukan kesalahan rasuah dan pengaturan perlawanan kerana ia sememangnya mencemarkan imej pasukan serta sukan bola sepak negara.

“Tindakan undang-undang wajar dikenakan setimpal dengan keuntungan yang mereka peroleh tanpa kita sedari sebelum ini.

“Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menilai baik dan buruk dalam mengembangkan karier bersama pasukan masing-masing,” katanya.

Tiga individu yang disyaki terlibat, termasuk dua pemain skuad Liga Premier Sarawak.

Rezal turut menegaskan setiap pemain perlu menghormati kontrak yang ditandatangani oleh mereka untuk menyertai pasukan itu.

“Pemain perlu menghormati setiap peraturan yang telah ditetapkan pihak pengurusan bagi memastikan karier mereka sentiasa terjamin.

“Tanggungjawab pemain adalah untuk menyumbangkan sesuatu yang terbaik kepada pasukan dan bukannya mengaut keuntungan melalui rasuah dan pengaturan perlawanan.

“Mereka perlu sedar bahawa rasuah akan menyebabkan karier yang dibina selama ini akan tamat begitu sahaja malah ia akan menjejaskan kehidupan sendiri untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut mengakui masih terlalu awal untuk menghukum dua pemain Sarawak yang ditahan oleh SPRM kelmarin.

“Kita perlu memberi laluan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lebih terperinci sebelum melakukan sebarang keputusan terhadap pemain terbabit.

“Semua pihak perlu faham bahawa pemain itu ditahan reman bagi membantu siasatan dan tidak wajar untuk kita melemparkan sebarang tuduhan kepada mereka,” ujarnya.

Pada hari Sabtu lalu, Sarawak tewas 3-2 kepada pendatang baharu Liga Premier, Felcra FC dengan jaringan 3-2 walaupun mendahului 2-0 sehingga ke minit akhir perlawanan.

Jaringan hatrik oleh pemain import Felcra FC, Anselmo Arruda D Silva di dalam tempoh empat minit terakhir perlawanan termasuk masa kecederaan, menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong dan pengurusan pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN