Revolusi Pengumpulan Statistik & Data, Ketelitian Mourinho, Serta Analisis Digital

Pada mulanya ramai yang skeptikal ia mampu dilakukan dengan terperinci. Alasannya, bola sepak adalah permainan yang pantas dan memiliki terlalu banyak drama. Tidak mungkin usaha mengumpul statistik untuk dijadikan data di dalam bola sepak akan berjaya.

Berdekad lamanya sejak sukan besbol –¬† antara yang terawal – menekankan peranan statistik, bola sepak moden pada hari ini juga tidak mahu ketinggalan untuk memanipulasikan angka. Stastistik yang membentuk data di dalam sukan bola sepak mempunyai banyak kegunaan.

Pertama, ia adalah untuk menganalisis pemain di dalam pasukan sendiri. Kelemahan pemain dicari, dan kelemahan yang sama diperbaiki berdasarkan data yang dibina dari statistik terkumpul. Statistik juga digunapakai untuk mengukur kelemahan dan kelebihan yang dimiliki pasukan lawan. Anda pasti masih ingat bagaimana telitinya kajian yang dilakukan oleh Marcelo Bielsa untuk Leeds United selepas terdedahnya skandal ‘spygate’ beberapa bulan yang lalu. Ketiga, statistik juga digunakan oleh jurulatih mengenalpasti pemain yang berpotensi di bawa masuk ke dalam pasukan di setiap jendela perpindahan.

Data dipaparkan oleh Marcelo Bielsa dalam skandal ‘Spygate’.

Bukan sahaja statistik mempunyai kepentingan untuk kegunaan pasukan di dalam padang. Ketika bola sepak pada hari ini seba serbi moden, data-data ini juga menjadi sebahagian daripada bahan untuk tujuan engagement bersama penyokong bola sepak – yang semakin hari, semakin celik pengetahuan mereka.

Tidak mudah untuk mengumpul data. Berikut adalah sebahagian daripada cara yang pernah digunakan dari era 50 an, sehingga kepada apa yang kita miliki pada hari ini.

Data bola sepak Charles Reep

Thorold Charles Reep adalah seorang akauntan bertauliah dan pernah bekerja di Unit Akauntan Royal Air Force (RAF) 1928 – sebelum melepaskan jawatan di dalam tentera pada pertenghan 1950 an. Di dalam bola sepak, beliau lebih dikenali sebagai pencipta corak permainan ‘long ball’.

Reep bukanlah seorang jurulatih. Selepas kecewa menyaksikan satu perlawanan bola sepak yang gagal memperolehi sebarang jaringan gol di Swindon, Reep mengambil langkah melakukan analisis dengan melakukan pengumpulan data hantaran – dengan fokus kepada untuk melakukan serangan.

Hasil kajian Charles Reep yang dikongsikan di akhbar Britain. FOTO: OPTA.

Kajian daripada data, Reep merumuskan corak permainan yang lebih ‘direct’ adalah kunci untuk mencipta kejayaan – bahawasanya, jumlah hantaran yang banyak adalah tidak diperlukan untuk memburu kemenangan.

Hasil kerja Reep mendapat kritikan Jonathan Wilson – penganalisis bola sepak terkenal di Britain, dan penulis buku ‘Inverting The Pyramid’, kerana corak taktikal membosankan berteraskan hantaran jauh yang lebih terus. Namun demikian, Charles Reep boleh dianggap sebagai antara individu terawal yang menekankankan aspek statistik dan data di dalam permainan bola sepak.

Laporan perlawanan Don Revie

Marcelo Bielsa bukan pengurus pertama yang didakwa oleh media British sebagai penipu kerana cuba mendapatkan maklumat bagaimana pasukan lawan beraksi. Malah pada 1958 sehingga 1962, Donald George Revie turut pernah berhadapan dengan dakwaan yang sama. Ironinya, Revie juga sedang mengendalikan Leeds United pada ketika itu.

Antara data yang Revie tekankan bersama barisan kejurulatihan beliau adalah jumlah hantaran yang dilengkapkan, kaki kegemaran pemain, dan keupayaan menggelecek. Ketelitian data oleh Revie dilabel oleh media British sebagai cubaan untuk melakukan penipuan – tuduhan sama seperti yang dilalui oleh Bielsa beberapa bulan yang lalu.

Laporan terperinci oleh Don Revie melibatkan perlawanan Crewe dan Stockport.

Data-data ini akan memberi gambaran sebenar kepada pemain Leeds mengenai lawan yang bakal mereka hadapi pada hari perlawanan sebenar. Latihan juga dilakukan oleg Revie dan jurulatih Leeds yang lain berdasarkan data yang diperolehi ini.

Perkara ini sememangnya sudah menjadi maklum di kalangan kelab-kelab Inggeris yang lain. Kerana itulah jurulatih atau kakitangan Leeds yang diarahkan untuk melakukan kerja pemantauan di gelanggang lawan sentiasa tidak dialu-alukan pada era itu.

Ketelitian Jose Mourinho dan AVB

Jose Mourinho dan Andre Villa Boas adalah dua lagi contoh jurulatih dan pengurus yang tidak pernah bermain bola sepak profesional di tahap tertinggi. Kedua-duanya dianggap berjaya di Porto, sebelum ianya disambung bersama Chelsea.

Rajah 1

Berbeza dengan era Reep dan Revie, data yang dikumpul oleh Mourinho dan Vila Boas mengenai Barcelona turut menunjukkan corak permainan – sekaligus mewujudkan pola. Dalam erti kata lain, kajian oleh Mourinho dan Villa Boas adalah lebih terperinci dengan data di dalam bentuk grafik turut diguna pakai.

Rajah 1 di atas turut berkongsi akan kelebihan dan keperincian mengenai anggota skuad Barcelona – perkara yang sama dilakukan oleh Revie. Manakala pola hantaran dan arah pergerakan bola adalah analisis seperti yang dilakukan oleh Charles Reep, tetapi di dalam bentuk yang lebih teliti.

Rajah 2

Menarik sekali, Mourinho dan Villa Boas berjaya menemui pola di setiap fasa permainan skuad Barcelona, termasuk di setiap transisi permainan seperti yang dipaparkan di Rajah 2.

Rajah 3.

Analisis terperinci sebegini bukan perkara asing di dalam bola sepak moden pada hari ini. Namun disebabkan perkara ini dihasilkan oleh Mourinho dan Villa Boas sekitar pertengahan 2000, kami harus akui ketelitian mereka seolah-olah mendahului zaman. Perhatikan cara enam pola serangan oleh Barcelona berdasarkan kajian kedua-dua individu di dalam Rajah 3.

Rajah 4.

Malah pola gerakan di dalam set peices oleh Barcelona turut diambil kira oleh Mourinho dan Villa Boas pada ketika itu.

Analisis digital

Hari ini ada pelbagai penyedia perkhidmatan analisis yang dilakukan secara digital. Prozone, SportsVU dan juga OPTA adalah antara syarikat-syarikat yang mengendalikan analisis digital secara terperinci di dalam bola sepak.

Mereka memudahkan kerja-kerja jurulatih yang mahukan data mengenai pasukan lawan, atau pun untuk memantau tahap prestasi terkini pemain sendiri. Dari kaca mata penyokong, data-data ini adalah untuk mengikuti perkembangan terkini pemain-pemain atau pasukan yang mereka gemari.

Foto: OPTA

Kamera sahaja tidak boleh memproses semua statistik ini. Jadi syarikat seperti Opta mengupah ramai pekerja yang terdiri daripada peminat bola sepak yang cakna tentang aspek teknikal dalam bola sepak. Kebanyakkan mereka adalah pekerja separuh masa.

Pekerja mereka akan mengadap komputer sambil meneliti setiap aksi di dalam perlawanan. Untuk mendapatkan kepastian, mereka dengan cekap mengulang semua detik detik tertentu. Misalnya untuk memastikan sama ada ia adalah gelecekan yang berjaya ataupun tidak.

FOTO: OPTA

Data ini dimasukkan terus ke dalam pangkalan data mereka dan dalam beberapa minit akan dapat kepada badan penyiar yang membayar perkhimatan mereka. Untuk pengguna telefon pintar, ianya terus ke hujung jari kita semua.

Data inilah yang ditunjukkan di monitor tv untuk dilihat oleh penonton dan diulas oleh pengulas perlawanan.

Rumusan

Selepas ini bagaimana lagi? Teknologi telah mengubah bagaimana bola sepak dianalisis. Ia sentiasa berevolusi, sesuai dengan tuntutan semasa. Sudah tentu jika anda mahukan analisis terperinci seperti mana yang dipaparkan oleh Bielsa, Mourinho dan juga Boas, maka anda harus benar-benar cakna akan bola sepak.

Atau pun sekurang-kurangnya, anda perlu menanamkan minat mendalam di dalam kerja analisis. Sehebat-hebat teknologi, tenaga pakar manusia masih diperlukan untuk analisis yang tepat.

Apa yang pasti, statistik dan data hasil analisis sebegini sentiasa  memberikan pengalaman menonton bola sepak yang luar biasa kepada penonton.

Leave a Reply