Reviu Perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2017

Piala Malaysia

Pemburuan merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-91 bakal bermula malam ini apabila tiga perlawanan suku akhir berlangsung manakala satu perlawanan akan diadakan esok.

Selangor bakal menanti kunjungan Kedah di Stadium Perbandaran Selayang, Melaka pula berdepan laluan sukar apabila bertemu Johor Darul Takzim (JDT) sementara itu, Felda United akan membuat perhitungan dengan pasukan sedang meningkat naik, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Pahang akan berdepan Perak pada perlawanan yang diadakan esok di laman sendiri.

1) Felda United lawan PKNP FC (Stadium Tun Abdul Razak, Jengka)

Kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini dalam mana-mana kejohanan kompetitif, mereka hanya bertemu dalam perlawanan persahabatan.

Keupayaan PKNP FC menamatkan peringkat kumpulan ditangga teratas sudah pasti bakal menjanjikan saingan sengit buat Felda United malam ini.

“Mereka pasukan pilihan manakala kami adalah ‘underdog’,” itulah kata-kata yang diungkapkan pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim melihat kepada kemampuan kedua-dua pasukan.

Manakala jurulatih Felda United, B.Sathianathan berkata: “Kami pernah menentang PKNP dalam aksi persahabatan dan tewas 0-5, jadi perkara itu harus dipandang serius dan tiada seorang pemain dari skuad kami boleh menganggap Felda United sudah berada di separuh akhir,” tegasnya.

Felda United dan PKNP FC masing-masing mencatatkan 3 kemenangan 2 seri dan 1 kekalahan di peringkat kumpulan masing-masing.

Felda United tewas kepada Pahang pada perlawanan ke-5 manakala Felda United pula kecundang 2-1 ditangan Perak pada perlawanan terakhir minggu lalu.

Pemain tumpuan

Penyerang sensasi, Thiago Augusto Fernandes yang sebelum ini masih belum cergas akibat demam pasti menjadi sandaran utama Felda United bagi mencari bekalan jaringan yang selesa menjelang kunjungan ke Ipoh minggu hadapan.

Sementara itu, penjaga gol utama PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar yang beraksi cemerlang pada perlawanan-perlawanan terdahulu kembali ditagih khidmatnya selepas tidak beraksi pada perlawanan terakhir.

Asyraaf yang berjaya mencuri tumpuan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada dijangka sekali lagi dapat mempamerkan aksi bertenaga bagi mengelakkan gawangnya dari dibolosi Thiago dan rakan sepasukan.

2) Selangor lawan Kedah (Stadium Majlis Perbandaran Selayang)

Aksi yang boleh diibaratkan sebagai perlawanan ‘membalas dendam’ buat Selangor selepas dikecewakan Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Peluang ini perlu digunakan sepenuh oleh skuad bimbingan P.Maniam bagi mengecewakan Kedah yang berjaya merampas Piala Malaysia yang dimenangi juara 33 kali itu pada tahun 2015.

Maniam juga yakin anak buahnya mempunyai karektor ‘sang juara’ untuk menundukkan Kedah.

Aksi dalam Liga Super 2017 menyaksikan dua keputusan seri dicatatkan dan kedua-duanya mencatatkan keputusan 1-1.

Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar melaungkan amaran untuk menundukkan Selangor sebagai tanda memberikan penghormatan kepada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada Isnin lepas.

Pemain tumpuan

Kelincahan Andik Vermansyah dilihat mampu menjadi ancaman buat Kedah. Larian-larian deras seperti kebiasaan yang dilakukan Andik bakal membuatkan pertahanan Kedah yang diketuai Khairul Helmi Johari akan bekerja keras malam ini.

Kelibat Liridon Krasniqi bakal menjadi tumpuan dengan ketenangan serta bijak memberikan ruang buat rakan sepasukannya menghasilkan jaringan. Skill individu yang berkualiti juga menjadi taruhan buat Kedah untuk mengecewakan impian tinggi Selangor.

3) Melaka United lawan JDT (Stadium Hang Jebat, Melaka)

Laluan sukar menanti tuan rumah apabila pasukan yang akan ditentang adalah JDT yang seperti sudah diketahui semua, mempunyai corak permainan yang menarik serta ampuh di bahagian serangan.

Walaupun berjaya mengikat JDT di laman sendiri  dengan keputusan 1-1 dalam saingan Liga Super musim ini, tetapi detik tewas 7-0 ditangan jiran selatan itu pasti perlu dijadikan iktibar buat skuad bimbingan Eduardo Elmeida itu.

Pertahanan Melaka United, Khair Jones berkata: ”Mereka (JDT) adalah pilihan pada perlawanan ini, ianya tidak perlu disangkal lagi. Kami telah melakukan persiapan yang rapi bagi menghadapi perlawanan ini, ia perlawanan yang sukar tetapi dengan disiplin dan sedikit ‘nasib’ kami mampu melakukannya.”

Pemain tumpuan

Penyerang dari Croatia, Marko Simic mampu menjadi pemain yang menyumbang sesuatu buat Melaka pada malam ini. Kelibatnya dihadapan gol juga tidak boleh diperkecilkan pertahanan JDT yang kehilangan Marcos Antonio akibat kecederaan.

Buat pasukan JDT sudah pastinya kelibat penyerang prolifik, Mohammad Ghaddar untuk merobek gawang Melaka United. Ketajaman yang tidak perlu dijelaskan lagi kepada semua jika dilihat pada prestasi beliau.

Ghaddar turut berjaya menyumbangkan 2 gol ketika menewaskan Selangor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

4) Pahang lawan Perak (Stadium Darul Makmur, Kuantan)

Pertembungan dua pasukan yang berbelanja besar pada awal musim. Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang yang seimbang dalam perlawanan ini.

Pahang terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir untuk mengesahkan laluan ke suku akhir sementara Perak tidak diberikan cabaran yang sengit dalam kumpulan B apabila mudah melayakkan diri ke aksi seterusnya setelah mencatatkan 5 kemenangan dan 1 seri.

Kedua-dua pasukan juga terikat dengan keputusan 1-1 pada perlawanan pembukaan Liga Super 2017 menerusi jaringan Ahmad Syamin Yahya dan Thiago Junio De Aquino.

Pahang menjaringkan 13 jaringan manakala Perak pula mencetak 14 gol dalam saingan Piala Malaysia. Pertahanan Perak tampak lebih kental apabila hanya 3 jaringan dibolosi, Pahang bolos sebanyak 8 jaringan.

Pemain tumpuan

Matheu Alves Leandro mampu menghadirkan sesuatu yang bermakna buat Pahang. Dibantu kelicikan Mohamadou Sumareh, Alves menjadi pilihan untuk menyinar pada perlawanan ini dan seterusnya membuatkan Thiago Aquino dan Shahrom Kalam berdepan tugas sukar di Stadium Darul Makmur.

Gilmar Jose Da Silva Filho telah menyumbangkan 5 gol buat Perak pada saingan Piala Malaysia setakat ini. Beliau yang mempunyai sentuhan pemusnah dihadapan gol terus menjadi sandaran utama Perak yang berjaya mempamerkan aksi meyakinkan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

 

Kredit foto: Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN