Reviu Buku: Retro Bola Sepak (Oleh Jemaah Retro Bola Sepak)

Tajuk: Retro Bola Sepak
Oleh: Jemaah Retro Bola Sepak
Penerbit: Gue.ril.la
Pencetak: Percetakan Mutalib Uthman

Semua peminat bola sepak tempatan kenal Retro Bola Sepak (RBS). Perkataan ‘retro’ itu sendiri menjelaskan roh laman Facebook mereka.

RBS adalah tempat bagi peminat bola sepak generasi tua untuk ‘menaiki mesin merentas masa’ dan mengenang kembali kenangan mereka semasa muda. Bagi peminat bola sepak generasi muda – seperti saya – RBS adalah tempat untuk mempelajari sejarah bola sepak.

Kali pertama saya kenal RBS di Facebook adalah lewat 2015. Post pertama mereka yang saya baca adalah peristiwa Mokhtar Dahari melakukan flying kick kepada Moshtakeen Omar, pemain JKR Kedah pada tahun 1979.

Ia adalah post yang terus membuatkan saya jatuh cinta kepada RBS. Sehingga kini, RBS adalah salah satu daripada puluhan laman Facebook yang saya buat tetapan ‘see first’.

Jadi apabila saya mendengar berita bahawa barisan jemaah RBS bakal muncul dengan sebuah buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017, saya terus bergegas untuk membeli dan membaca.

Bukan untuk kaki sejarah sahaja

Jika anda menganggap buku Retro Bola Sepak ini buku sejarah, anda silap. Ya buku ini penuh dengan fakta sejarah. Tetapi buku ini adalah bagaikan himpunan kisah-kisah teladan – tetapi dalam konteks bola sepak.

Artikel ‘Kenangan, Hari Ini Dan Masa Depan Harimau Malaya’ misalnya, adalah satu artikel yang mengingatkan saya kepada bait kata-kata Thierry Henry:

“Petanda pasukan yang kuat bukanlah terletak pada jumlah kemenangan mereka. Sebaliknya ia terletak pada kebolehan mereka untuk bangkit selepas kalah.”

Sekali pandang, artikel ini nampak seperti ditulis untuk membanding-bandingkan pencapaian Harimau Malaya era 60-an dan 70-an dengan era sekarang. Tetapi RBS ada kelas. Ada gaya mereka sendiri.

Dalam artikel ini RBS mengingatkan kita bahawa pada zaman keemasan 60-an dan 70-an itu juga, Harimau Malaya pernah kalah teruk. Kekalahan kepada New Zealand, Thailand, India, Maghribi pada era itu semuanya bermargin 6 gol ke atas.

Tetapi Harimau Malaya bangkit selepas itu.

Belum sempat saya mempersoalkan komitmen pemain Harimau Malaya yang terus kalah dan kalah selepas dibelasah 11-0 oleh UAE pada tahun 2015, RBS menangkisnya dengan lirik lagu penyanyi sajak Indonesia, Ebiet G. Ade.

Grande, RBS. Grande.

Menjawab soalan peminat bola sepak

Selain kaya dengan pengajaran dan teladan, Retro Bola Sepak juga banyak menjawab soalan saya tentang bola sepak.

Mengapa ada ‘bendera England’ di logo AC Milan? Siapa yang mula-mula memakai shin pad dalam bola sepak? Apa kaitan Hellas Verona dengan Leicester City? Mengapa bola sepak tak popular di Cuba?

Oh tahukah anda? Argentina pada asalnya bermain dengan corak permainan agresif dan fizikal. Terima kasih kepada Retro Bola Sepak, kini saya tahu.

Apa yang membuatkan Argentina mula berubah untuk menerapkan kemahiran teknikal tinggi pula sebagai corak permainan mereka? Anda perlu membaca Retro Bola Sepak untuk mengetahuinya.

Tak cukup mendalam

Cabaran menulis buku bukan-fiksyen (non-fiction) seperti Retro Bola Sepak ini adalah menjawab dilema: perlukah fakta diselit secara minimal vs perlukan fakta diselit secara mendalam?

Jika anda memasukkan terlalu banyak fakta hanya untuk menjelaskan satu premis hujah (seperti buku Inverting The Pyramid tulisan Jonathan Wilson), anda akan hilang pembaca kasual yang baru berjinak-jinak untuk mengenali sejarah bola sepak.

Jika anda meminimumkan impak fakta dalam tulisan, peminat tegar genre bukan-fiksyen pula akan mengeluh, “Kami mahukan persembahan fakta yang lebih mendalam.”

Ada beberapa persembahan fakta dalam Retro Bola Sepak yang saya rasa boleh diperkembangkan lagi. Ini adalah untuk memberi gambaran 360 darjah kepada proses penceritaan – sekaligus menguatkan lagi premis hujah tulisan.

Sebagai contoh penggunaan bait kata-kata Brian Clough, “Rome wasn’t built in a day” dalam topik ‘Rom’ diambil luar dari konteks sebenar.

Pada 1998, Brian Clough menyebut:

“They say Rome wasn’t built in a day, but I wasn’t on that particular job.”

Clough sebenarnya menyindir ungkapan ‘Rome wasn’t built in a day’ tersebut. Mengikut konteks sebenar, Clough mendakwa beliau boleh membina bandar Rom dalam masa sehari jika diberi peluang.

Tetapi selain daripada isu ini dan beberapa kesilapan ejaan yang kecil jumlahnya, saya masih berpendapat Retro Bola Sepak sebuah buku bukan-fiksyen yang mesti anda miliki.

Rating keseluruhan: 4/5

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN