Bagi seseorang penjaga gol, kebiasaanya makin berusia makin ‘malap’ karier seseorang pemain itu dan tidak boleh beraksi seperti mana berada di usia muda.
Tugas yang digalas begitu mencabar kerana perlu memastikan benteng terakhir tidak dibolosi oleh pihak lawan.
Namun begitu, bagi penjaga gol Belanda, Remko Pasveer telah membuat penampilan pertama bersama skuad Oranje dalam aksi UEFA Nations League menentang Poland.
Lebih manis, penjaga gol veteran berusia 39 tahun ini membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-0 dengan Pasveer tidak dibolosi dalam perlawanan tersebut.
Pada usia begini, boleh kategorikan beliau sebagai ‘otai masih berbisa’ dan jarang kita lihat penjaga gol masih aktif apatah lagi beraksi di peringkat tertinggi serta antarabangsa sebagai pilihan utama.
Pemilihan beliau ke dalam skuad kebangsaan bukanlah disebabkan ingin memberi penghormatan tetapi atas kapasiti aksi cemerlang bersama kelabnya.
Aksi tangkas dirinya membuatkan pengendali Belanda, Louis van Gaal memutuskan untuk memanggil penjaga gol veteran ini menyertai skuad utama.
Tindakan ini sudah pasti satu keputusan berani mati dalam percaturan dan dengan pengalaman yang beliau ada, ternyata Pasveer berjaya membalas kepercayaan yang diberikan kepada dirinya dengan menampilkan aksi yang begitu cemerlang dalam perlawanan pertama bersama skuad kebangsaan.
17 Nirbolos
Pasveer kini beraksi bersama Ajax Amsterdam sebagai pilihan utama telah membantu kelab tersebut berada di kedudukan kedua liga setakat ini dan berkongsi mata bersama pendahulu – PSV Eindhoven.
Musim lepas, dibawah pengurusan Erik ten Hag, Pasveer diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama sebanyak 20 perlawanan dan mencatat 17 perlawanan tanpa bolos.
Beliau hanya mampu beraksi 20 perlawanan sahaja dalam saingan liga utama dan terpaksa berehat panjang selepas itu atas faktor kecederaan yang dialaminya.
Dengan usia sebegitu, apa yang dipamerkan oleh beliau sememangnya layak berada di skuad utama Belanda ketika ini dan kredit juga kepada Van Gaal yang berani meletakkannya sebagai pemain utama.
Cemerlang di pentas UCL
Jika dilihat prestasi pemain ini di pentas UEFA Champions League (UCL), ternyata penjaga gol ini masih berada di tahap terbaik untuk bermain di peringkat tertinggi.
Ketika menentang Liverpool baru-baru ini, biar pun pasukannya tewas 1-2 namun aksi tangkas Pasveer telah menyelamatkan pintu gol pasukannya dari dibolosi dengam lebih banyak.
Dalam perlawanan tersebut, pemain kelahiran Enschede itu hampir membantu Ajax mengikat gergasi England namun Video Assitant Referee (VAR) telah membantu kemenangan Liverpool.
Tetapi pujian tetap perlu diberikan jika tidak kerana aksi cemerlang Pasveer, kemungkinan besar skuad kendalian Jurgen Klopp sudah berpesta jaringan.
Malah, musim lepas pemain ini berjaya menampilkan aksi yang bertenaga sehingga membantu Ajax mara ke pusingan 16 pasukan terakhir UCL.
Di peringkat kumpulan, Pasveer menjadi tumpuan dek kerana hanya dibolosi lima gol sahaja daripada lima perlawanan yang dilalui olehnya.
Ketika menentang Borussia Dortmund, penjaga gol ini membuktikan usianya bukan penghalang bagi mempamerkan aksi menajubkan untuk menidakkan jaringan pemain lawan terutama dari penyerang sensasi Manchester City ketika ini – Erling Haaland.
Bukan tugas mudah
Untuk mengekalkan aksi pada umur sedemikian bukan sesuatu yang mudah apatah lagi pemain di Malaysia.
Satu ketika dahulu, kita ada penjaga gol otai dari Kelantan, Halim Napi yang pernah menceriakan suasana bola sepak Malaysia.
Kehadiran beliau dalam bola sepak Malaysia berjaya bertahan lama dengan penjaga gol tersebut beraksi sehingga lewat 30-an dalam kariernya.
Apa yang dilalui oleh Pasveer juga menunjukkan yang hidup ini bukanlah sebuah perlumbaan, masa gemilang setiap manusia itu akan tiba dan ianya berlaku pada waktu berbeza.
Ada penjaga gol yang lebih gemilang berbanding Pasveer sebelum ini namun sudah tertulis yang seluruh dunia akan melihat dirinya pada usia 39 tahun.
Sikap tak mahu mengalah dan sentiasa berikan yang terbaik akhirnya terbalas dengan beliau berjaya mewakili negaranya – satu perkara yang akan dikenang selamanya dalam hidupnya.
Apa-apa pun, tabik hormat buat Remko Pasveer!