Rembatan Kaki Kiri Anmar Almubaraki Hiasi 5 Gol Tercantik Minggu 3 MSL 2019

19 gol dihasilkan dari lima perlawanan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 yang berlangsung sepanjang hujung minggu lalu. Jumlah jaringan ini adalah yang tertinggi dihasilkan setakat ini selepas tiga pusingan, walaupun perlawanan membabitkan Kuala Lumpur menentang Perak ditunda ke tarikh lain.

Seperti kebiasaan, kami akan membawakan kepada anda lima jaringan tercantik pilihan kami untuk minggu ke-3 MSL 2019. Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ini juga bermakna jaringan voli pemain PKNP FC, Hafiz Ramdan tidak dimasukkan di dalam senarai pada kali ini setelah terbias kaki pemain pertahanan lawan.

Pemilihan juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal. Saksikan jaringan-jaringan tersebut seperti di bawah.

Shakir Hamzah vs Felda United

Sebagai pemain pertahanan tengah, ia adalah satu kebiasaan untuk pemain seperti Shakir Hamzah turut menyertai setiap gerakan set pieces pasukan. Berketinggian 1.79m, Shakir bukan pemain paling tinggi di dalam padang.

Namun jaringan pemain ini dianggap cantik kerana kebijaksanaan beliau melepaskan diri dari kawalan pemain lawan, sebelum ‘menyerang’ hantaran sudut oleh Baddrol Bakhtiar.

Kpah Sherman vs Selangor FA

Tampak mudah, namun jaringan tersebut tetap memerlukan naluri seorang penyerang sejati untuk dihasilkan. Kpah Sherman adalah seorang tipikal ‘target man’ yang mempunyai kualiti sebegitu. Pantang diberi peluang dan ruang, beliau akan memanfaatkannya.

Walaipun bola pada asalnya bukan menuju beliau, Sherman memastikan beliau sentiasa bersedia. Tandukan ke belakang cantik rakan sepasukan terus dimanfaatkan sebaik mungkin. Kerana beliau sudah bersedia membaca tandukan tersebut, mudah bagi Sherman menewaskan seorang pertahanan lawan, sebelum menolak tinggi bola melepasi jangkauan penjaga gol.

Pedro Henrique vs PKNP FC

Ini adalah penampilan ketiga Pedro Henrique di dalam Liga Malaysia, dan beliau sudah pun meledakkan dua gol setakat ini. Pemain dari Brazil sering dikaitkan dengan kebolehan teknikal dan skill yang tinggi. Maka itulah yang diperagakan oleh Henrique di Manjung.

Tatkala pasukan ketinggalan 1-0, Henrique meledak sepakan percuma deras dari jarak tidak kurang 30 meter menuju penjuru kiri gawang PKNP FC. Sudah pasti jaringan sebegitu memerlukan teknik yangs sangat baik untuk dihasilkan.

Anmar Almubaraki vs Felda United

Seorang pemain dengan kualiti akan mampu menggunakan kedua-dua belah kaki dengan baik, walaupun pemain mempunyai lebih kekuatan di antara salah satu kaki. Anmar Almubaraki adalah salah seorang pemain sedemikian.

Selepas kehilangan Syazwan Zainon dan Akhyar Rashid, Ketua Jurulatih Kedah meletakkan Almubaraki di posisi sayap kiri – walaupun beliau lebih mahir dengan kaki kanan. Namun jaringan kaki kiri yang menerjah penjuru gawang wajar diangkat sebagai salah satu gol tercantik minggu ini.

R. Barathkumar vs PKNP FC

Sukar untuk membezakan mana satu jaringan yang lebih menakjubkan di antara jaringan Anmar Almubarak dan juga jaringan yang dihasilkan oleh R. Barathkumar. Namun kami akhirnya memilih jaringan yang dihasilkan di Manjung ini sebagai pilihan kami.

Ini berdasarkan faktor intensiti perlawanan, yang turut terganggu oleh lampu limpah yang terpadam. Jaringan oleh Barathkumar adalah gol kemenangan untuk PJ City -selepas dua kali ketinggalan dalam perlawanan ini – sekaligus turut merekodkan kemenangan pertama di musim sulung beraksi di Liga Super.

Penutup

Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ketiga unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan kepada kami pendapat anda. Kami mahu mendengarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN