19 gol dihasilkan dari lima perlawanan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 yang berlangsung sepanjang hujung minggu lalu. Jumlah jaringan ini adalah yang tertinggi dihasilkan setakat ini selepas tiga pusingan, walaupun perlawanan membabitkan Kuala Lumpur menentang Perak ditunda ke tarikh lain.
Seperti kebiasaan, kami akan membawakan kepada anda lima jaringan tercantik pilihan kami untuk minggu ke-3 MSL 2019. Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ini juga bermakna jaringan voli pemain PKNP FC, Hafiz Ramdan tidak dimasukkan di dalam senarai pada kali ini setelah terbias kaki pemain pertahanan lawan.
Pemilihan juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal. Saksikan jaringan-jaringan tersebut seperti di bawah.
Shakir Hamzah vs Felda United
Sebagai pemain pertahanan tengah, ia adalah satu kebiasaan untuk pemain seperti Shakir Hamzah turut menyertai setiap gerakan set pieces pasukan. Berketinggian 1.79m, Shakir bukan pemain paling tinggi di dalam padang.
Namun jaringan pemain ini dianggap cantik kerana kebijaksanaan beliau melepaskan diri dari kawalan pemain lawan, sebelum ‘menyerang’ hantaran sudut oleh Baddrol Bakhtiar.
53′ | GOOLLL SHAKIR HAMZAH!
Gol ketiga Lang Merah terhasil sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar yang ditanduk oleh Shakir Hamzah! Tuan rumah selesa di Alor Star ketika ini.@MEDIAKFA 3-0 @feldaunitedfc #KEDFEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/0QpXxHpuoF
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 16, 2019
Kpah Sherman vs Selangor FA
Tampak mudah, namun jaringan tersebut tetap memerlukan naluri seorang penyerang sejati untuk dihasilkan. Kpah Sherman adalah seorang tipikal ‘target man’ yang mempunyai kualiti sebegitu. Pantang diberi peluang dan ruang, beliau akan memanfaatkannya.
Walaipun bola pada asalnya bukan menuju beliau, Sherman memastikan beliau sentiasa bersedia. Tandukan ke belakang cantik rakan sepasukan terus dimanfaatkan sebaik mungkin. Kerana beliau sudah bersedia membaca tandukan tersebut, mudah bagi Sherman menewaskan seorang pertahanan lawan, sebelum menolak tinggi bola melepasi jangkauan penjaga gol.
50′ | GOL SHERMAN DA MAN!
Umpanan cantik dari Faizat Ghazli disudahkan dengan baik oleh Kpah Sherman.
Red Giants kini ketinggalan 2 gol!@FASelangorMy 0-2 @ThePKNSFC #SELPKNS#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/02GbbkcGdW
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 17, 2019
Pedro Henrique vs PKNP FC
Ini adalah penampilan ketiga Pedro Henrique di dalam Liga Malaysia, dan beliau sudah pun meledakkan dua gol setakat ini. Pemain dari Brazil sering dikaitkan dengan kebolehan teknikal dan skill yang tinggi. Maka itulah yang diperagakan oleh Henrique di Manjung.
Tatkala pasukan ketinggalan 1-0, Henrique meledak sepakan percuma deras dari jarak tidak kurang 30 meter menuju penjuru kiri gawang PKNP FC. Sudah pasti jaringan sebegitu memerlukan teknik yangs sangat baik untuk dihasilkan.
46′ | WHAT A GOAL PEDRO HENRIQUE!
PJ City menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma deras oleh Pedro Henrique!@pknp_fc 1-1 PJ City FC#PKNPPJC#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/IIpcJS73Qz
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 16, 2019
Anmar Almubaraki vs Felda United
Seorang pemain dengan kualiti akan mampu menggunakan kedua-dua belah kaki dengan baik, walaupun pemain mempunyai lebih kekuatan di antara salah satu kaki. Anmar Almubaraki adalah salah seorang pemain sedemikian.
Selepas kehilangan Syazwan Zainon dan Akhyar Rashid, Ketua Jurulatih Kedah meletakkan Almubaraki di posisi sayap kiri – walaupun beliau lebih mahir dengan kaki kanan. Namun jaringan kaki kiri yang menerjah penjuru gawang wajar diangkat sebagai salah satu gol tercantik minggu ini.
41′ | GOOLLL ANMAR ALMUBARAKI!
Lang Merah kini dua gol dihadapan setelah rembatan cantik kaki kiri oleh Anmar Almubaraki menerjah jaring FELDA United FC.@MEDIAKFA 2-0 @feldaunitedfc #KEDFEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/nisCdD0MLW
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 16, 2019
R. Barathkumar vs PKNP FC
Sukar untuk membezakan mana satu jaringan yang lebih menakjubkan di antara jaringan Anmar Almubarak dan juga jaringan yang dihasilkan oleh R. Barathkumar. Namun kami akhirnya memilih jaringan yang dihasilkan di Manjung ini sebagai pilihan kami.
Ini berdasarkan faktor intensiti perlawanan, yang turut terganggu oleh lampu limpah yang terpadam. Jaringan oleh Barathkumar adalah gol kemenangan untuk PJ City -selepas dua kali ketinggalan dalam perlawanan ini – sekaligus turut merekodkan kemenangan pertama di musim sulung beraksi di Liga Super.
83′ | ANDA FIKIR GOL CANTIK SUDAH HABIS? ANDA SILAP!
Kali ini rembatan cantik R.Barathkumar pula merealisasikan ‘comeback’ PJ City FC pada malam ini! @pknp_fc 2-3 PJ City FC#PKNPPJC#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/tn4xeHtZGN
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 16, 2019
Penutup
Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ketiga unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan kepada kami pendapat anda. Kami mahu mendengarnya.