Rekod Cemerlang Craig Duncan Di Piala Asia Beri Kelebihan Buat Malaysia?

Semalam, Dr. Craig Duncan secara rasminya diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan yang merupakan antara jawatan terpenting buat struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.

Pengenalan ini terus membuktikan betapa Malaysia kini serius untuk terus berkembang dengan lebih positif selepas cetusan revolusi itu telah menyaksikan beberapa muka baharu menyertai FAM.

Bermula dengan ketibaan Peter Cklamovski selaku jurulatih baharu skuad senior negara, FAM turut memperkenalkan Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan bawah 23 (B-23) kebangsaan.

Melihat kepada latar belakang kedua jurulatih ini juga bukan calang-calang kerana mereka boleh dianggap ‘specialist’ untuk sesuatu peranan bersesuaian dengan apa ditetapkan oleh FAM.

Selain itu, revolusi dilihat semakin menarik apabila buat julung kalinya Harimau Malaya memiliki Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sendiri iatu Rob Friend yang memiliki kelayakan cukup hebat untuk memacu pasukan kebangsaan.

Bukan sahaja memiliki pengalaman hebat selaku pemain, Rob juga memiliki keupayaan tersendiri dalam dunia korporat yang dianggap mampu untuk mengangkat bola sepak negara ke suatu tahap membanggakan.

Terbaharu, FAM turut mengumumkan Dr. Craig Duncan yang juga dari Australia selaku Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan pasukan kebangsaan dan ia juga merupakan jawatan baharu ditubuhkan pada gerakan revolusi ini.

Melihat kepada pengalaman beliau dalam bidang sains sukan, jelas Dr. Craig merupakan salah satu komponen penting buat pasukan kebangsaan untuk berada pada tahap baharu terutama daripada segi kecergasan serta gaya hidup sihat buat pemain.

Malah, Dr. Craig juga memiliki sejarah cukup cemerlang di pentas Piala Asia terdahulu untuk membantu Harimau Malaya terus melayakkan diri sekali lagi pada kejohanan tersebut akan datang.

Apa tidaknya, Dr. Craig pernah membantu Australia menjuarai kejohanan Piala Asia pada tahun 2015 dan momentum positif terus dipamerkan beliau untuk memastikan Iran melayakkan diri ke pentas separuh akhir saingan tersebut pada edisi 2019.

“Dr. Craig bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.

“Selain itu, Dr. Craig turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019,” petikan daripada FAM.

Walaupun tidak mengemudi dua negara tersebut daripada segi kejurulatihan mencatur taktikal perlawanan, rangka dilakar beliau untuk memastikan tahap setiap pemain berada pada keadaan terbaik melancarkan segalanya.

Sudah tentu kita sendiri berharap ada perubahan mampu dilakar oleh para pemain kebangsaan pada suatu masa nanti dengan ia tidak sekadar bergantung pada keupayaan mereka di atas padang, tetapi amalan sains sukan dibawa beliau bakal menaikkan lagi prestasi semasa mereka di pentas antarabangsa.

Kami berharap, hasil positif dibawa oleh Dr. Craig ketika bersama Australia dan Iran mampu diteruskan kini bersama Malaysia dalam usaha kita untuk kembali bangkit dan melakar sejarah baharu di pentas tertinggi pada suatu hari nanti.

Selamat datang Dr. Craig!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN