Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menegaskan ia adalah masa terbaik buat kesemua pasukan dan pemain Liga Malaysia dapat mencari satu solusi terbaik untuk menyelesaikan isu yang menyentuh gaji dan kontrak ketika negara sedang berdepan detik selepas wabak COVID-19 melanda negara.
Ini kerana Redzuan memahami kesulitan yang dihadapi oleh kelab mahupun pemain itu sendiri selepas menyaksikan sistem negara hampir lumpuh gara-gara penularan wabak COVID-19 yang semakin serius.
Jelasnya lagi, beliau berharap mekanisme terbaik antaranya pembayaran gaji separuh di mana jalan ini dilihat lebih ideal untuk melindungi hak pemain manakala kelab berdepan masalah kewangan lepas aksi domestik terpaksa ditangguhkan.
“Pemain dan kelab harus menyedari bukan sahaja yang terpalit dalam isu ini tetapi seluruh dunia merasai kesan COVID-19 yang telah melumpuhkan hampir kesemua sistem negara sekarang.
“Sebaik Kerajaan Pusat telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita semua harus sedar ini adalah detik sukar buat kita semua.
“Jadi saya memahami apa kesulitan yang dihadapi terutama melibatkan pemain dan pasukan. Pemain memerlukan gaji untuk menyara keluarga mereka manakala pasukan memerlukan penajaan untuk menghidupkan kewangan mereka.
“Mungkin mekanisme terbaik adalah bayar dulu separuh gaji pemain dalam detik sukar ini. Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk melindungi hak pemain atau kelab itu sendiri dan ingatlah bukan mereka sahaja terpalit dalam masalah kewangan sebaliknya seluruh dunia merasai kesan buruk COVID-19 ini,” katanya.
Terdahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengumumkan pemain, jurulatih dan kakitangannya bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.
Turut mengikuti jejak langkah JDT, Kelab Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC yang bersedia untuk memotong gaji pemain antara 15 ke 20 peratus bermula April ini sehingga tempoh PKP ekoran penularan wabak COVID-19 berakhir.
Dalam perkembangan sama, Redzuan memuji tindakan pantas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) yang sentiasa mengikuti saranan Kerajaan Pusat selepas saingan liga yang perlu ditangguhkan lagi apabila tempoh PKP dilanjutkan lebih lama sehingga 14 April depan.
Jelasnya tiada yang lebih penting daripada nyawa manusia itu sendiri di mana beliau mendoakan wabak COVID-19 akan berakhir dan industri bola sepak tempatan akan berjalan seperti biasa.
“Pujian harus diberikan kepada FAM dan MFL (selepas meneruskan tangguhan aksi domestik). Lupakan dahulu bola sepak kerana nyawa manusia lebih penting
“Usaha FAM dan MFL ini adalah sama seperti yang dilakukan oleh badan induk bola sepak negara lain di mana mereka sendiri pun menangguhkan aksi domestik dan ada segelintir telah menamatkan saingan liga gara-gara wabak COVID-19 ini.
“Ini adalah detik sukar buat bola sepak dunia selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Jadi, saya berharap kita semua dapat berdoa akan negara kita akan menjadi harmoni seperti biasa pada masa akan datang,” ujar Redzuan Sheikh Ahmad lagi.
Terdahulu, pihak Kerajaan Malaysia telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April depan menandakan saingan Liga Malaysia juga terpaksa ditangguh lebih lama.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers