Red Giants Terpaksa Lupakan Khidmat Rufino Segovia Selama 4 Bulan

Rufino

Tatkala ‘mood’ di dalam kem Selangor sepertinya gembira dengan kejayaan merekodkan kemenangan pertama di saingan Liga Super Malaysia pada musim ini, B. Sathianathan pasti tidak senang duduk dengan perkhabaran terbaru ini.

Ini adalah kerana penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia terpaksa disisihkan daripada skuad Red Giants selama empat bulan akibat kecederaan yang dialami pemain itu dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur.

Aksi Rufino dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur. FOTO: FA Selangor.

Rufino terpaksa dikeluarkan oleh B.Sathianathan pada minit ke-28 perlawanan – pada ketika Selangor sedang berusaha untuk memburu gol setelah ketinggalan oleh jaringan awal Syafwan Sahlan seawal minit ke-5 perlawanan.

Kuala Lumpur turut menjaringkan satu lagi gol di babak akhir separuh masa pertama perlawanan, melalui Indra Putra Mahayuddin untuk mendahului 2-0 sebelum waktu rehat.

Selangor bagaimana pun berjaya bangkit dengan tiga gol pada babak kedua perlawanan melalui jaringan Syazwan Zainon, Sandro Mendonca dan Amri Yahyah untuk mengumpul tiga mata dari perlawanan itu.

Rufino dipercayai mengalami kecederaan di sebelah kaki kiri ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur. Namun tiada butiran mengenai kecederaan didedahkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Melalui kenyataan yang dikongsikan di laman sesawang persatuan, B. Sathianathan menyifatkan ketiadaan Rufino adalah satu kehilangan besar buat pasukan.

Sehingga kini, pemenang kasut emas Liga Super musim lalu itu sudah pun menghasilkan tiga gol dari enam perlawanan yang dilalui.

Leave a Reply