Red Eagles SC Antara Kelab Sah Sertai Liga Wanita Nasional 2024

Kelab bola sepak wanita dari Kedah, Red Eagles SC antara yang mengesahkan penyertaan mereka di pentas saingan Liga Wanita Nasional untuk musim 2024 selepas ia diperkenalkan secara rasmi sebentar tadi.

Menerusi perkongsian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), majlis pelancaran saingan tersebut telah pun diadakan di Lalaport, Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

“Mengambil kira kejayaan penganjuran LWN 2023 tahun lalu, objektif utama penganjuran liga bola sepak wanita kebangsaan kali ini bakal menyaksikan pelbagai pembaharuan di mana kesemua perlawanan akan dijalankan di stadium selain pelbagai promosi media akan dijalankan bagi mempromosikan lagi sukan bola sepak wanita,” jelas kenyataan dikeluarkan oleh FAM sebentar tadi.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bersama Datuk Haji Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM untuk memperkenalkan secara rasmi saingan itu.

Menurut Hannah Yeoh, beliau mengucapkan terima kasih kepada FAM atas dedikasi serta usaha untuk menyediakan peluang dan ruang buat pemain bola sepak wanita di Malaysia.

“Liga bola sepak wanita ini jelas menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan berada di landasan yang tepat.

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan bagi musim 2024 kali ini juga mencerminkan populariti dan pengiktirafan kepada bola sepak wanita di negara kita.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan ekosistem serta hala tuju bola sepak wanita bagi mencapai aras kecemerlangan sukan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Pada masa sama, beberapa pembaharuan turut dijelaskan Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob mengenai saingan musim ini dalam usaha untuk memastikan setiap pasukan dapat memberikan segalanya terbaik di atas padang.

“8 pasukan terdiri daripada tiga pasukan baharu iaitu Melaka, Red Eagles SC (Kedah) dan Real CJ FC (Pulau Pinang) bersama lima pasukan dari musim 2023 iaitu Sabah, Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan SSMP akan berentap bagi merebut gelaran Juara LWN 2024.

“Apa yang menjadikan LWN pada tahun ini lebih manis adalah pencapaian pasukan Sabah selaku Juara LWN 2023 telah layak ke pusingan pertama AFC Women’s Champions League 2024 buat julung-julung kalinya.

“Pastinya pencapaian pasukan ini bakal menjadi inspirasi buat pasukan-pasukan LWN 2024 yang sudah tentu mengidamkan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa,” ulas beliau pula.

Saingan tersebut dilaporkan bakal bermula Sabtu, 6 Julai ini dengan aksi pembukaan antara Kelana United FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada jam 4.00 petang.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN