Gergasi Sepanyol, Real Madrid tidak berdepan masalah bagi meraih kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA 2018 selepas berjaya menundukkan Al Ain 4-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Zayed Sports City Stadium, Abu Dhabi.
Kejayaan tersebut menjadikan Real Madrid sebagai pasukan yang paling banyak meraih kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA, iaitu sebanyak empat kali.
Lebih manis kejayaan musim ini adalah yang ketiga berturut-turutb buat Real Madrid selepas melakukannya pada tahun 2016 dan 2017.
Luka Modrid hanya memerlukan 14 minit untuk membuka tirai jaringan selepas beliau meledakkan percubaan dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Khalid Eisa.
Real Madrid yang tampil dengan begitu garang hampir menambah dua lagi jaringan, namun percubaan Lucas Vasquez dan tandukan Gareth Bale gagal menemui sentuhan jaringan.
Al Ain dan Khalid sekali lagi tersentak dengan jaringan dari luar kawasan penalti dan kali ini giliran Marcos Llorente pula melepaskan rembatan menarik untuk gol kedua buat Real Madrid pada minit ke-60.
Tidak cukup dengan itu, Sergio Ramos menambah luka buat Al Ain dengan jaringan ketiga pada minit ke-78 menerusi tandukan padu hasil sepakan penjuru yang diambil Luka Modric.
Tsukasa Shiotani memberikan sedikit sinar buat Al Ain juga menerusi tandukan untuk memberikan jaringan saguhati pada minit ke-86.
Terkejut dengan jaringan tersebut, anak buah Santiago Solari menjadikan kedudukan 4-1 akibat kesilapan pemain gantian, Yahia Nader yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri dalam usaha beliau menangkis asakan yang diberikan Vinicius Junior di masa kecederaan.
Keputusan itu kekal hingga tamat permainan bagi menambah koleksi trofi buat Real Madrid.