Pertemuan yang ditunggu-tunggu dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah musim ini diantara Real Madrid menentang Paris Saint-Germain (PSG) berakhir dengan kemenangan 3-1 buat Los Blancos pada perlawanan pertama di Santiago Bernabeu pagi tadi.
Diatas kertas, ramai yang memilih PSG untuk menjadi pemenang pada perlawanan ini.
Namun, Real Madrid yang merupakan juara bertahan, tidak mahu membiarkan aksi kurang konsisten dalam saingan liga mengganggu tumpuan mereka untuk memburu kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut.
PSG bagaimanapun terlebih dahulu memperolehi jaringan pendahuluan selepas Adrien Rabiot berjaya melakukan rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-33 untuk menewaskan Keylor Navas.
Ketika perlawanan babak pertama sampai ke penghujung, Giovani Lo Celso telah melakukan kekasaran terhadap Toni Kroos untuk memaksa pengadil perlawanan dari Itali, Gianluca Rocchi bagi menghadiahkan sepakan penalti buat Real Madrid.
Cristiano Ronaldo yang mengambil tugasan hakikinya tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut bagi kembali menyamakan kedudukan untuk babak pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1.
Kedua-dua pasukan gergasi bola sepak dunia ini saling berbalas serangan pada babak kedua. Bagaimanapun usaha yang dilakukan masih belum mampu memberikan jaringan tambahan sehinggalah minit ke-83.
Menerusi hantaran lintang di sebelah kanan pintu gol PSG dari Marco Asensio yang mencari Cristiano Ronaldo gagal dikeluarkan dengan kemas pertahanan PSG, bintang dari Portugal itu berada di keadaan tepat untuk menghasilkan jaringan kedua buat Real Madrid.
Gol tersebut terus menyemarakkan api perjuangan skuad bimbingan Zinedine Zidane itu bagi menambah jaringan ketiga.
Usaha tersebut membuahkan hasil dengan gerakan yang hampir sama seperti jaringan kedua apabila Asensio berjaya untuk melorongkan bola kepada Marcelo bagi melakukan rembatan kaki kiri untuk gol ketiga.
Kemenangan moral buat Real Madrid sekaligus meredakan tekanan Zinedine Zidane yang sebelum ini dilihat sedang menikmati ‘musim yang sukar’ di Madrid.
Bagi PSG pula, segalanya masih belum berakhir dan perlawanan kedua di Parc des Princes nanti bakal menjadi misi utama buat Unai Emery dan anak buahnya dalam usaha memadam defisit dua gol ketika ini.