Dua musuh tradisi saingan La Liga, Real Madrid dan Barcelona dilaporkan bakal bersaing dalam usaha mendapatkan khidmat pemain pertahanan Inter, Milan Skriniar.
Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Inter Milan daripada Sampdoria pada musim lalu.
Beliau berjaya menjelmakan impak pantas sekaligus menjadi sandaran utama Luciano Spalletti bagi mengemudi jentera pertahanan skuad Nerazzuri itu.
Ejen Skriniar, Mithat Halis mengesahkan bahawa kedua-dua gergasi Sepanyol itu berminat untuk mendapatkan khidmat Skriniar.
”Real Madrid mahu menandatanganinya (Milan Skriniar), begitu juga dengan Barcelona,” jelas Halis.
”Mana-mana pasukan yang dapat meyakinkan Inter akan berjaya menandatanganinya pada musim panas nanti.”
”Skriniar mempunyai sikap yang profesional. Sekiranya Real Madrid mahu mendapatkannya, mereka boleh melakukan tetapi terdapat ejen lain yang mempunyai kepentingan dalam membawa pemain di mana mereka mahukan.”
Dibawa masuk dari Sampdoria ke Inter Milan, Skriniar ketika itu bernilai €28 juta dan Manchester City pernah meletakkan harga €55 juta untuk membawa masuk pemain kebangsaan Slovakia tersebut hanya selepas enam bulan beliau di Milan.
Nilai tersebut dijangka akan terus meningkat dan berkemungkinan pasukan yang ingin mendapatkan Skriniar perlu berbelanja sehingga sehingga €100 juta (£87 juta).
Sudah dua musim bersama Inter Milan, Skriniar telah membuat 76 penampilan serta menjaringkan empat gol buat gergasi Serie A itu.