Quantcast

BERITA

Real Madrid Akan Lepaskan Ronaldo Jika Ada Kelab Lain Sanggup Membelinya

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid membayangkan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mungkin tidak akan beraksi dengan pasukan itu pada musim depan.

Spekulasi itu timbul sebaik rundingan ejen Ronaldo, Jorge Mendes bersama Real pada Selasa lalu apabila juara 13 kali Eropah tersebut dilihat tidak berminat untuk memberikan kontrak lumayan seperti yang dikehendaki kapten Portugal tersebut.

Menurut laporan di Sepanyol, pemain berusia 33 tahun itu telah bersedia untuk meninggalkan Santiago Bernabeu selepas tuntutannya ditolak Real.

Apa yang pasti, Real lebih berminat untuk menggunakan hasil penjualan Ronaldo bagi menampung dana untuk menyambar khidmat penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Presiden Real, Florentino Perez telah menjadikan Neymar sebagai buruan utamanya pada musim panas ini selain menganggap bintang Brazil itu mampu menggantikan Ronaldo jika bekas pemain Manchester United tersebut meninggalkan Real.

Bagaimanapun, Real berdepan tugas sukar memandangkan tanda harga Neymar dianggarkan bernilai €400 juta (RM1.8 bilion) jika mahu membelinya dari kelab gergasi Perancis itu.

Ronaldo dikhabarkan mahu meninggalkan Real selepas mendapati dirinya ditipu oleh Perez yang sebelum ini berjanji menawarkannya kontrak lumayan.

PSG, United dan Bayern Munich antara pasukan yang sedang memantau Ronaldo dan bersedia mendapatkan pemenang lima kali Ballon d’Or itu jika dia serius mahu meninggalkan Real pada musim depan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!