Menyertai kejohanan UEFA Champions League (UCL) adalah satu impian besar buat mana-mana kelab di Eropah.
Bukan sekadar prestij dan potensi bertemu serta beraksi menentang pasukan-pasukan dan para pemain terbaik utama Eropah, malah wang hasil menyertai kejohanan ini nyata cukup lumayan bagi mereka yang menyertainya.
Hal ini kerana, wang dari hak penyiaran bagi kejohanan ini cukup tinggi. Mana tidaknya, kejohanan UCL ini ditonton di seluruh dunia!
Baru-baru ini, laman Swiss Ramble telah mendedahkan jumlah wang kejohanan yang diterima oleh para pasukan yang menyertai UCL terutamanya dari Britain.
Pada musim ini, Liverpool merupakan pasukan Inggeris yang paling berjaya dari segi kutipan wang kejohanan.
Hal ini dapat dibuktikan apabila mereka memperoleh €66 juta dari kejohanan ini – paling tinggi berbanding mana-mana kelab Inggeris yang lain.
Dibelakang Liverpool adalah Chelsea yang memperoleh €64 juta.
Apa yang mengejutkan adalah Manchester City yang memperoleh jumlah yang lebih sikit berbanding Chelsea iaitu €62 juta walaupun mereka menamatkan saingan UCL di peringkat yang lebih tinggi berbanding pasukan dari London itu.
Tottenham Hotspur pula memperoleh €60 juta untuk menjadi kelab Inggeris keempat tertinggi memperoleh wang kejohanan UCL.
Manakala Manchester United memperoleh jumlah paling sedikit dengan jurang yang besar apabila hanya memperoleh €39 juta sahaja.
Hal ini disebabkan Manchester United layak ke saingan UCL menerusi saingan Europa League.
Sementara bagi kelab La Liga, Real Madrid merupakan penerima paling tinggi wang kejohanan UCL dengan nilai €71 juta.
Jumlah itu amat besar jika mahu dibandingkan dengan penerima kedua tertinggi dari La Liga iaitu Barcelona yang hanya memperoleh €57 juta sahaja.
Sevilla pula hanya menerima €48 juta dan Atletico Madrid pula hanya menerima €32 juta – lebih rendah berbanding Manchester United.