Pasukan Brunei mungkin terpaksa menelan hakikat kekalahan besar 5-1 kepada Filipina dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022 pada Jumaat, tetapi ada rekod yang mungkin dapat mengubati kekecewaan tersebut.
Skuad kendalian Mario Rivera itu berhasil mendapatkan satu gol di Stadium Peringatan Rizal menerusi penyerang Razimie Ramlli pada minit ke-70 dan ia merupakan jaringan pertama pasukan tersebut dalam kejohanan ini.
Ia merupakan gol kedua Brunei dalam sejarah penganjuran Piala AFF di mana jaringan terakhir mereka adalah ketika edisi pertama yang berlangsung pada tahun 1996.
Lebih menarik, semakan rekod menunjukkan gol sulung Brunei oleh Irwan Mohammad juga dijaringkan ketika menentang Filipina dalam aksi yang berlangsung pada 8 September 1996 di Stadium Nasional Singapura.
Namun untuk perlawanan seterusnya, Brunei telah dibelasah Malaysia dengan keputusan 6-0 hasil jaringan K. Sanbagamaran, Shamsurin Abdul Rahman serta dua gol oleh Anuar Abu Bakar dan M. Chandran.
Edisi tersebut menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir menerusi jaringan Kiatisuk Senamuang.
Ia juga menjadi kemenangan pertama dan terakhir Brunei dalam saingan Piala AFF. Mereka tidak layak beraksi untuk edisi-edisi seterusnya sehinggalah membuat kemunculan semula pada tahun ini setelah menewaskan Timor Leste 6-3 secara agregat dalam aksi kelayakan.
Skuad The Hornets turut tewas kepada Thailand 5-0 dalam aksi pembukaan tempoh hari dan kini mempunyai baki dua perlawanan menentang Indonesia dan Kemboja.