Previu MSL 2018: Raul Longhi Buru Kemenangan Pertama Di Kuala Terengganu

Bayangkan ini. Pertamanya, skuad kendalian Raul Longhi bakal berhadapan dengan satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam saingan unifi Liga Super pada musim ini.

Kedua, juara bertahan itu akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang merupakan gelanggang keramat skuad Penyu itu.

Perlawanan malam ini di antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti menjadi tumpuan seluruh komuniti bola sepak di tanah air.

Prestasi semasa

Terengganu FC cemerlang dalam beberapa perlawanan terakhir apabila tampil dengan dua kemenangan meyakinkan.

Selepas bermula perlahan dengan dua keputusan seri, anak buah Irfan Bakti ini bangkit membuktikan mengapa mereka adalah salah satu pasukan tumpuan pada musim ini dengan membelasah Selangor 4-1 pada saingan minggu ketiga unifi Liga Super.

Sumber: TFC, Facebook

Rentak kemenangan kemudiannya diteruskan apabila menewaskan Negeri Sembilan dengan jaringan 2-1 di halaman lawan.

Di dalam saingan pusingan ketiga Shopee Piala FA Malaysia baru-baru ini, Terengganu FC turut tidak mempunyai masalah menewaskan Petaling Jaya Rangers dengan jaringan 4-0 untuk mara ke peringkat suku akhir.

Sumber: Terengganu FC, Facebook

Secara keseluruhan, Terengganu FC belum lagi tewas dalam mana-mana perlawanan meliputi semua pertandingan pada musim ini, menjaringkan 9 gol dan melepaskan hanya 5 gol di dalam saingan liga setakat ini.

JDT mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan. Bermula cemerlang di dalam dua perlawanan awal, juara empat kali berturut-turut ini ditewaskan secara mengejut ketika tumpas kepada Kuala Lumpur.

Selepas itu, skuad yang masih berada di bawah kendalian Ulisses Morais pada ketika itu dengan tenang menewaskan cabaran melawan Melaka United di Larkin dengan jaringan 3-0.

Kemudian beberapa isu dalaman termasuk pemergian mengejut Jorge Pereyra Diaz, dan perletakan jawatan oleh Morais kerana isu keluarga di Portugal, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pasukan dari selatan tanah air ini.

Di saingan Piala FA, mereka terpaksa berhempas pulas selama 120 minit sebelum mampu mengesahkan kemenangan  ketika menentang Sabah.

Gonzalo Cabrera muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan JDT ke atas Sabah. FOTO: JST

Manakala di pertandingan Piala AFC, JDT ditewaskan Song Lam Nghe An daripada Vietnam sebelum seri tanpa jaringan menentang wakil Singhapura, Tampines Rovers.

Namun demikian, ini bukan masa untuk skuad dengan jolokan Harimau Selatan ini untuk menekan butang panik. Ini masih skuad yang sama sebelum pemergian Morais.

Raul Longhi

Sebaliknya, Raul Longhi seharusnya bijak untuk menanamkan kembali motivasi dan keyakinan pemain untuk kembali mempamerkan aksi bola sepak yang mampu menundukkan mana-mana pasukan sebelum ini.

Pemain tumpuan

Bagi kem Terengganu FC, pemain tumpuan pasti akan terarah kepada tongak import iaitu pemain tengah, Lee Tuck, dan penyerang, Tchtche Kipre.

Kedua-dua pemain telah menjaringkan 6 gol daripada 9 yang dijaringkan untuk pasukan dengan warna hitam dan putih setakat ini.

Sumber: Terengganu FC, Facebook

Bukan itu sahaja sumbangan kedua-dua tongak ini. Selain daripada ketajaman menghasilkan gol, Lee Tuck dan Tchetche Kipre turut telah menyumbangkan 5 bantuan gol sesama mereka setakat ini.

Namun dalam pertemuan menentang JDT, bahagian pertahanan yang diketuai oleh Igor Zonjic dan Nasrullah Hanif turut pasti akan menjadi tumpuan dalam menyerap asakan serangan JDT.

Sumber: Terengganu FC

Bagi skuad JDT, kehilangan Diaz bukanlah satu masalah besar bagi mereka.

Ini adalah kerana skuad kendalian Raul Longi ini mempunyai pilihan serba mantap seperti Safawi Rasid dan juga Hazwan Bakri yang dilihat sebagai pilihan utama untuk mengisi kekosongan tersebut.

Safawi Rasid / foto: Asiana.my

Namun dalam perlawanan ini, JDT pasti mengharapkan ketenangan pemain senior di dalam pasukan seperti Safiq Rahim, Gonzalo Gabriel Cabrera, Luciano Figueroa dan Natxo Insa.

Antara posisi yang dianggap penting dalam perlawanan ini ialah posisi pemain tengah pertahanan yang sering diisi oleh Haris Harun dan juga Afiq Fazail.

Siapa pun di antara kedua-dua pemain yang bakal diturunkan, tumpuan pasti terarah kepada bagaimana mereka mampu meneutralkan ancaman Lee Tuck daripada bahagian tengah.

Rekod lampau

Musim lalu mereka bertemu sebanyak dua kali dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu, JDT kemudiannya mudah menewaskan Terengganu dengan jaringan 5-0 di Larkin.

Sebelum wisel

Kami menjangkakan Irfan Bakti akan mengekalkan formasi 4-3-3 yang ternyata memberikan impak positif setakat ini.

Abdul Malik Ariff dan Shahrul Aizad akan terus diberikan peranan di bahagian depan bersama-sama Tcheche Kipre.

Manakala Thierry Bin, Lee Tuck bersama Ashari Samsudin akan terus diberikan tanggungjawab oleh Irfan Bakti untuk menggerakkan jentera tengah.

Bagi JDT, Raul Longi berkemungkinan akan menukar sedikut formasi yang sering digunakan.

4-2-3-1 adalah lebih kompeten buat mereka pada masa ini, dengan gandingan Afiq/Haris dan Natxo akan membentuk pivot berkembar.

Kredit: Goal

Luciano Figueroa akan kekal sebagai target man dan diapit oleh Gonzalo Cabrera dan juga Safawi Rasid di setiap bahagian sayap.

Kebijaksaan Safiq Rahim beraksi di belakang Figueroa turut akan ditagih untuk mengeksploitasi ruang dan mencipta peluang.

Penutup

Sudahkah anda memiliki tiket untuk menyaksikan perlawanan ini?

Jika belum, jangan risau. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung melalui rangkaian iflix dan juga TV9 mulai jam 9 malam, tertakluk kepada perubahan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN