Quantcast

BERITA

Ratu Tisha Pasrah Jika PSSI Dihukum FIFA

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha berkata bahawa Indonesia harus pasrah dan menerima seadanya hukuman yang akan dijatuhkan oleh FIFA atas kejadian rusuhan penyokong yang berlaku baru-baru ini.

Dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G, Indonesia tewas 2-3 kepada Malaysia – walaupun mendahului perlawanan dua kali.

Perkara tersebut mengundang kekecohan di kalangan penyokong Indonesia, yang mulai melakukan provokasi terhadap 400 penyokong Malaysia yang berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno sejak sebelum sepak mula lagi.

Malah perlawanan terpaksa dihentikan sekitar lapan minit setelah terdapat penyokong Indonesia cuba memasuki kawasan penyokong Malaysia, sebelum insiden bertempur dengan pihak polis di luar stadium selepas perlawanan.

Perlawanan menentang Malaysia ini adalah penampilan pertama Indonesia di pusingan kelayakkan Piala Dunia/Piala Asia, setelah negara itu digantung penyertaan oleh FIFA sejak Jun 2014 – setelah didapati bersalah kerana campur tangan kerajaan.

FAM

“Kami kesal perkara ini telah berlaku, terutama di pusingan kelayakan Piala Dunia kerana ini penampilan pertama [Indonesia] sejak bebas dari hukuman FIFA, dan negara sedang mempertimbangkan untuk membida [penganjuran] Piala Dunia B-20 pada 2021,” ujar Ratu Tisha kepada BolaSport.

“Kejadian ini [sebaiknya] sama-sama kita [gunakan] untuk melakukan refleksi diri, baik PSSI, penyokong, dan semua pihak. Tidak perlu terus saling menyalahkan.

“Semua kita tahu apa itu perbuatan yang baik dan buruk, dan saya [secara peribadi] sememangnya sangat kecewa dan sedih. Ini [perasaan] yang tidak boleh dibendung.

Kredit Foto: merahputih.com

“Satu perkara yang pasti, jangan gunakan kesungguhan [passion] sebagai alasan untuk melakukan tindakan yang melanggar peraturan, apatah lagi yang bersifat anarki.

“Kalau benar kita bersungguh mengenai bola sepak, mari kita jaga bersama-sama,” jelas beliau panjang lebar.

Mengenai hukuman yang bakal diterima dari badan induk bola sepak dunia selepas kejadian tersebut, Ratu Tisha berkata PSSI harus menerima seadanya sebarang bentuk hukuman

“Ya kami [PSSI] harus terima. Kalau salah, ya kami terima saja. Fair play saja,” ujar beliau lagi.