AC Milan telah mengesahkan bekas penyerang pasukan itu, Zlatan Ibrahimovic telah kembali menyertai pasukan itu dengan perpindahan secara percuma.
Ibrahimovic telah pun menandatangani kontrak selama enam bulan sehingga penghujung musim ini dan pilihan untuk lanjutan selama setahun. Perpindahan itu tertakluk kepada pemeriksaaan perubatan yang akan dilakukan pada 2 Januari nanti.
Same Zlatan. Different Devil. @acmilan Arrivo pic.twitter.com/2sU0su3Jtt
— Zlatan Ibrahimović (@Ibra_official) December 27, 2019
Bekas penyerang Manchester United itu telah menjadi ejen bebas sejak meninggalkan LA Galaxy sejurus sahaja musim Major League Soccer (MLS) tamat tempoh hari.
“Saya kembali ke kelab yang sangat saya hormati dan bandar Milan yang amat saya cintai,” kata penyerang berusia 38 tahun itu.
“Saya akan berjuang bersama rakan sepasukan saya untuk mengubah nasib pasukan pada musim ini. Saya akan lakukan apa sahaja untuk pastikan ianya berlaku.”
This is not a drill 🔴⚫#IZBACK@Ibra_official pic.twitter.com/7lZuv552N8
— AC Milan (@acmilan) December 27, 2019
Milan kini menduduki tangga ke-11 dalam saingan Serie A dan hanya menjaringkan 16 gol dalam 17 perlawanan liga. Pihak pengurusan kelab telah memecat jurulatih Marco Giampaolo pada Oktober hanya selepas empat bulan memegang jawatan tersebut. Beliau telah digantikan dengan Stefano Pioli.
Ibrahimovic sebelum ini pernah menyarung jersi AC Milan selama dua musim pada 2010 dan menjaringkan 56 gol dari 85 perlawanan dalam semua pertandingan.
Bekas penyerang antarabansa Sweden itu membantu skuad Rossoneri menjulang kejuaraan Serie A pada musim 2010/2011 dam kemudian menyertai Paris Saint-Germain pada 2012.
Rundingan dengan Milan telah bermula sejak beberapa minggu lalu dengan kedua-dua pihak berusaha untuk memastikan permintaan gaji Ibrahimovic menetapi peraturan kewangan FIFA.
Kelab Itali itu telah digantung daripada pertandingan Eropah kerana melanggar peraturan tesebut dan pihak kelab perlu memastikan mereka tidak lagi mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.