Jaguh bola sepak Asia Tenggara, Vietnam telah mengambil langkah proaktif dalam menggantikan mantan jurulatih iaitu Park Hang-seo dengan memilih Philippe Troussier.
Sering menjadi potensi pengganti Park yang meninggalkan Vietnam selepas tamat kempen Piala AFF 2022, Troussier akhirnya sah menjadi pengendali baharu negara itu dengan mengikat kontrak selama empat tahun.
Menurut laman ASEAN Football, Troussier mengikat kontrak yang serupa dengan apa yang dilakukan oleh Park.
Hal ini kerana, pengendali dari Perancis itu bukan sahaja mengikat kontrak untuk mengendalikan skuad senior sahaja. Sebaliknya, beliau juga akan mengendalikan skuad B-23 Vietnam selama tempoh empat tahun bersama-sama negara itu.
Lantikan Troussier sebagai pengendali Vietnam adalah mesej jelas negara itu yang mahu terus menjadi kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dan terus mahu mengetuk pintu untuk berdiri sebaris negara-negara handalan Asia.
Sasaran awal pastinya adalah Piala Asia 2023 dengan persembahan baik akan dituntut oleh penyokong mereka apabila berdepan jagoan Asia.
Dan melihat kepada sasaran jangka panjang pula, tidak hairan jika Vietnam menyimpan hasrat untuk layak ke saingan Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Lantikan Troussier untuk mengendalikan skuad muda mereka juga adalah misi jelas Vietnam untuk membina masa depan yang lebih gemilang bermula dengan pemain-pemain remaja yang ada di negara tersebut.
Beliau sudah pernah melayakkan Afrika Selatan dan Jepun ke Piala Dunia sebelum ini, dan pastinya Troussier ada misi yang sama apabila bersama-sama Vietnam.