Quantcast

BERITA

RASMI: Unai Emery Dipecat

Jodoh Unai Emery dengan Arsenal berakhir jua. Ianya selepas beberapa spekulasi mengaitkan jurulatih itu dengan pemecatan.

Secara tidak langsung Unai Emery merupakan jurulatih kedua yang hilang jawatan selepas tewas di tangan Eintracht Frankfurt.

Sebelum ini Niko Kovac mengalami nasib yang sama kerana dimalukan oleh bekas pasukannya itu.

Dalam kenyataan rasmi oleh Arsenal FC sebentar tadi, ianya menyatakan:

“Hari ini kami mengumumkan keputusan sudah pun diambil bahawa kelab memutuskan untuk berpisah dengan ketua jurulatih, Unai Emery dan juga barisan kejurulatihannya.

Bercakap selaku wakil pihak Lembaga Pengarah Arsenal dan juga pemilik pasukan, Kroenke Sports & Entertainment, Josh Kroenke berkata: ‘Setinggi-tinggi terima kasih dengan seikhlas hati daripada kami kepada Unai dan rakan-rakannya yang telah menunjukkan usaha keras untuk membantu kelab ini kembali bersaing ke tahap yang kami mahukan.’

‘Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa akan datang kepada Unai dan staf kejurulatihannya.’

Keputusan ini dibuat kerana keputussan dan prestasi yang kurang memberangsangkan dan tidak menepati apa yang diperlukan pada tahap tertinggi.

Kami telah meminta Freddie Ljungberg untuk menjadi interim bagi jawatan ketua jurulatih pasukan utama. Kami memberikan keyakinan penuh kepada Freddie untuk membawa kita maju ke hadapan.

Pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan kami akan membuat pengumuman rasmi apabila segala proses itu lengkap.”

Unai Emery telah mendapat banyak tekanan dan kritikan. Lebih-lebih lagi beliau masih gagal meletakkan Arsenal di landasan yang stabil dalam persaingan ke UCL musim hadapan.

7 perlawanan tanpa kemenangan termasuk 5 dalam aksi liga terakhir membuatkan Unai Emery terpaksa akur bahawa masa beliau di Arsenal sudah berakhir, walaupun sebelum ini beliau yakin masih mendapat sokongan daripada pengurusan tertinggi.

Beberapa nama kini dikaitkan dengan Arsenal. Ini termasuk Nuno Espirito, Mauricio Pochettino dan juga Max Allegri.