UiTM FC secara rasmi telah melantik bekas jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Frank Bernhardt sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim ini.
Frank Bernhardt diperkenalkan selaku pengendali The Lion Troops dalam satu majlis ringkas semalam.
Menurut Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah, pengendali dari Jerman itu menandatangani kontrak selama semusim.
“Frank Bernhardt sememangnya mempunyai pengalaman yang luas [bola sepak Malaysia],” kata Azizan pada sidang media semalam.
“Saya percaya pengalaman itu membantu meningkatkan prestasi pasukan yang kebanyakannya dibarisi pemain muda universiti seterusnya memacu pasukan sepanjang musim ini.
“Apabila pasukan UiTM FC naik ke Liga Super [musim 2020], kami bakal bersaing dengan pasukan yang lebih hebat.
“Jadi, sasaran kita kali ini adalah untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dan mampu merebut Piala Malaysia.”
Frank pula ketika bercakap kepada media mengakui gembira kerana diberikan peluang untuk kembali ke Malaysia bersama UiTM FC.
“Saya telah bersama pasukan [UiTM FC] selama tiga minggu dan buat masa ini ada 50 pemain,” kata beliau membuka bicara.
“Masih ada muka lama, namun ada yang telah meninggalkan pasukan ini. Saya masih dalam proses mengenal pemain sebelum memperkenalkan mereka cara latihan baharu.
“Senarai pemain tempatan dan import akan dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini, segala kelemahan sebelum ini akan diperbaiki untuk untuk memastikan UiTM FC dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini,” katanya.
UiTM FC adalah pasukan dari kalangan institusi pengajian tinggi pertama yang beraksi di saingan Liga Super.
Pasukan itu yang menamatkan saingan Liga Premier 2019 di tangga kelima akan tampil sebagai pengganti PKNS FC yang bergabung dengan Selangor FA selaku pasukan simpanan.
FOTO: UiTM FC