RASMI: TM Piala Malaysia 2020 Dibatalkan

TM Piala Malaysia 2020

Malaysian Football League (MFL) telah mencapai kata sepakat untuk mengumumkan pembatalan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan TM Piala Malaysia 2020.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana pembatalan ini terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen TM Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

“Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh TM Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

“Apapun, saya mewakili bagi pihak MFL ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan saingan Liga Malaysia seperti CIMB Liga Super dan Liga Premier dijalankan sebelum ini.

“MFL juga memberi penghargaan kepada setiap pasukan yang berusaha keras untuk bertanding dalam pertandingan Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia musim ini dengan mematuhi SOP begitu baik.

“MFL juga tidak lupa kepada penaja-penaja iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB, AirAsia, Nike dan F&N 100Plus yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami ketika berdepan detik sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

MFL sebelum ini menyatakan bahawa pengelola Liga Malaysia itu telah bersedia dengan mekanisme khas dalam misi meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 di negeri bebas PKPB.

Dalam perancangan itu, MFL telah menghantar permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir.
Sebagai rekod, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mengesahkan Terengganu FC (TFC) yang menduduki tangga ketiga CIMB Liga Super, meraih slot Piala AFC 2021 sejurus pembatalan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga CIMB Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021 selepas TM Piala Malaysia 2020 dibatalkan.”

“Tahun ini adalah detik cukup sukar buat bola sepak di mana banyak kekangan dan halangan yang kita tempuhi tetapi saya berharap kita semua kekal patuhi SOP serta harus bangkit untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali bernyawa.”

“Saya juga berharap pasukan-pasukan yang telah menamatkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bersedia untuk persiapan musim 2021,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN