Kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) telah mengesahkan kehadiran tiga pemain baharu iaitu Manuel Hidalgo, Willian Lira dan Bojan Ciger untuk musim baharu ini.
KDA yang dibawah pengurusan baharu dilihat meneruskan rentak berbelanja besar bagi musim 2023 ini dengan Nafuzi Zain mendapatkan khidmat Hidalgo yang sebelum ini bersama-sama Sri Pahang.
Sementara Lira pula beraksi di Jepun bersama-sama Ventforet Kofu manakala Ciger tidak mempunyai kelab sebelum ini.
Untuk rekod, kelab terakhir Ciger adalah Navbahor di Uzbekistan pada 2021.
Hidalgo, Lira dan Ciger diperkenalkan secara rasminya hari ini untuk mengisi kouta import yang sebelum ini telah diisi oleh Amirbek Juraboev dan Manny Ott.
Kehadiran pemain-pemain import ini pastinya akan memberikan suntikan kekuatan kepada skuad KDA yang berbelanja sakan untuk membawa pulang piala musim ini.
Tumpuan pastinya akan terarah kepada Hidalgo yang sebelum ini dilihat akan kekal di Pahang untuk semusim lagi.
Namun begitu, keputusan tidak dijangka dilakukan dengan pemain lincah itu dilamar oleh KDA untuk menikmati suasana beraksi di Stadium Darul Aman pula.
Bagi Juraboev, Lira dan Ciger, ini adalah pengalaman baharu buat mereka apabila beraksi di Malaysia buat kali pertama.
Akan tetapi, situasi berbeza buat Hidalgo dan Ott yang sebelum ini pernah bersama-sama pasukan Liga Super yang berpengakalan di Pantai Timur (Sri Pahang & Terengganu).