Rasmi: Perak Umum Kemasukan Noureddin, Corntwaithe Umum Persaraan Penuh

Berita yang agak sedih untuk peminat Perak apabila Robert Corntwaithe terpaksa akur dengan badannya yang memberikan isyarat sudah tidak mampu beraksi lagi dalam perlawanan kompetitif.

Kecederaan berterusan Corntwaithe membuatkan pemain tersebut terpaksa bersara dari bola sepak. PAFA juga setuju untuk menamatkan kontrak pemain tersebut atas persetujuan bersama.

Pada Januari lalu, Robert Corntwaithe meninggalkan Sydney Wanderers untuk bergabung semula dengan Mehmet Durakovic, kali ini bersama pasukan Perak.

Sebagai pengganti, pasukan Perak turut mengumumkan pemain pertahan baru berasal dari Lebanon iaitu Jad Noureddine.

Noureddine mengisi kuota pemain import Asia yang dikosongkan oleh Corntwaithe. Setiausaha Kehormat, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata:

“Kemasukan Noureddine di bahagian pertahanan menggantikan kuota Asia yang ditinggalkan oleh Robert Cornthwaite yang menarik diri atas faktor kecederaan.”

“Kecederaan yang dialami Robert berpanjangan. Oleh itu, dia dan PAFA mencapai kata sepakat untuk tidak lagi bersama di Perak.”

Dalam kenyataan Corntwaithe di media sosial beliau, pemain tersebut berkata:

“Saya memang sudah berhasrat untuk menamatkan karier pemain profesional selepas tamat musim ini. Namun selepas beberapa faktor tak dapat dielakkan, saya memutuskan yang masa bermain bola sepak saya sudah berakhir.”

“Saya tahu masanya sudah tiba untuk saya mencari keghairahan yang lain dan bola sepak bukan lagi keutamaan. Ianya adalah 14 tahun yang indah dan tiada siapa boleh merampas detik kenangan dan pencapaian yang saya usahakan bersungguh-sungguh.”

“Saya boleh katakan dengan jujur yang saya rasanya sudah menikmati segalanya di dalam karier dan merasai segala pengalaman dalam bola sepak.”

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua kelab yang memberikan saya platform untuk merealisasikan mimpi saya, semua jurulatih, staf sokongan yang telah banyak memberikan saya tunjuk ajar.”

“Dan kesemua pemain yang menjadi rakan serta keluarga saya, ejen saya, Zeljko Susa. Tanpa anda, saya tidak akan merasai pengalaman bermain di Asia. Dan kesemua rakan saya yang besama-sama saya sejak hari pertama.”

“Paling penting, saya nak ucapkan terima kasih kepada keluarga saya, ibu, ayah yang telah menghantar saya ke seluruh Australia dengan keretanya. Dan sentiasa mengikuti saya di mana sahaja saya berada di dunia.”

“Isteri saya terpaksa meninggalkan kariernya untuk mengikut saya dan membesarkan anak-anak kami di Asia tanpa keluarga dan kawan di sisi kami.”

“Tak lupa juga, 2 orang adik perempuan saya yang merupakan peminat tegar saya serta keluarga sebelah mertua saya yang sentiasa datang melawat kami di setiap bandar kami tinggal untuk membantu kami.”

“Anda semua telah memainkan peranan sangat besar dalam karier. Jadi, pengembaraan saya adalah milik saya dan anda juga. Kita lakukan ia bersama-sama.”

PAFA memberitahu mereka sudah menilai sebaik mungkin Noureddine sebelum menawarkan kontrak kepada pemain tersebut. Ahmad Shahrul Azhar berkata:

“Pemilihan Jad berdasarkan pemerhatian dan penelitian ke atas apa yang terbaik untuk pasukan Perak.”

Sebagai rekod, Noureddine sebelum ini bermain untuk SAFA FC dalam Liga Lebanon. Beliau pernah bermain di Asia Tenggara dengan menyertai Arema FC di Liga Indoenesia pada 2017.

Selepas 13 perlawanan, Perak berada di tangga ke-3 di belakang JDT dan Pahang. Noureddine yakin akan dapat membantu pasukan Perak meskipun tidak pernah bermain di Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN