Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) memulakan langkah untuk memperkuatkan jentera pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 apabila baharu sahaja mengumumkan bekas penjaga gol Kedah, Muhammad Azri Abdul Ghani menyertai pasukan tersebut.
Perkembangan terkini berhubung kedatangan penjaga gol berusia 21 tahun itu disahkan oleh laman Facebook rasmi Perak TBG menerusi satu video yang dimuat naik bagi memperkenalkan rekrut baharu skuad Yob tersebut.
Memiliki sosok tubuh yang cukup meyakinkan, Azri merupakan penjaga gol utama skuad B-19 negara ketika menghadapi Kejuaraan AFC B-19 2018 yang berlangsung di Indonesia.
Kehadiran Azri pastinya memberikan lebih banyak pilihan berkualiti buat jurulatih penjaga gol, Mohd Faozi Mukhlas apabila Perak turut memiliki tonggak utama, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Mohammad Nasrullah Abdul Aziz serta Khairul Amri Salehuddin.
Penjaga gol kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sebelum ini mencuri tumpuan apabila aksi tangkasnya dalam beberapa perlawanan terakhir kempen Liga Super 2020 telah membantu Kedah menamatkan saingan di tangga kedua sekali gus layak ke saingan Piala AFC 2021.
Peluang itu menjelma dengan sekelip mata buat Azri Ghani selepas dua penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim dan Shahril Saa’ri mengalami kecederaan digunakan sepenuhnya untuk mempamerkan kehebatan sebenar dimiliki oleh beliau.
Difahamkan, Perak akan mengumumkan beberapa pemain baharu dalam tempoh terdekat apabila perbincangan untuk memeterai perjanjian telah mencapai fasa akhir.
Antara pemain yang disebut-sebut untuk memperkuatkan pasukan Perak FC ialah bekas pemain import Kedah, Muhammad Shakir Hamzah dan pertahanan UiTM FC, Muhammad Danish Haziq Saipul Nizam.
Kredit featured image: Facebook Perak TBG
Baca artikel lain dari kami mengenai Perak TBG:
Piala Malaysia 2020: Hatrik ‘Budak Nakal’ Beri Kemenangan Selesa Buat Perak
Adly Shah: Persiapan Perak FC Berjalan Lancar, Kekalkan 80 Peratus Pemain Utama