Teka-teki mengenai destinasi seterusnya buat pemain sayap kiri, Mohammad Nor Hakim Hassan akhirnya terjawab selepas pemain kelahiran Kuala Terengganu itu kini sah bersama Selangor.
Pengesahan secara rasmi kehadiran Nor Hakim bagi menyarung jersi pasukan bimbingan B. Satiananthan itu telah diumumkan oleh laman Facebook rasmi, FA Selangor sebentar tadi.
”Suka cita diumumkan bahawa Nor Hakim Hassan kini sah bergelar pemain Selangor untuk musim 2020.”
”Selamat datang ke wilayah Gergasi Merah, Hakim!”
Pada pertengahan November lalu, Nor Hakim telah mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan Perak selepas dua musim menabur bakti buat skuad ‘Yob’ itu.
Ia merupakan rekrut ketiga buat pasukan yang lebih dikenali sebagai Gergasi Merah itu selepas sebelum ini mengumumkan kehadiran pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie dan Brendan Gan.
Sepanjang dua musim bersama Perak, Nor Hakim menjadi pilihan utama Mehmed Durakovic di bahagian sayap kiri.
Kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2018 dan layak ke perlawanan akhir Piala FA 2019 pastinya menjadi antara detik manis pemain berusia 28 tahun itu bersama Perak.