RASMI: Matt Doherty Kini Bergelar Pemain Tottenham Hotspur

Matt Doherty

Tottenham Hotspur bakal mendapat nafas baharu di jentera pertahanan bagi menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain Wolverhampton Wanderers, Matt Doherty.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Dublin, Ireland itu telah memeterai kontrak selama empat tahun untuk berada di Tottenham Hotspur Stadium dan akan memakai jersi nombor dua.

Perkembangan terbaharu ini juga menyaksikan Doherty bakal meninggalkan kelab yang sudah diwakilinya sejak musim 2010/11 itu.

Sudah pastinya kejayaan kembali membawa Wolves beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 2018/19 sebagai antara kenangan manis sepanjang kariernya.

Doherty juga merupakan sandaran utama buat pengendali pasukan, Nuno Espirito Santo dalam membantu Wolves menamatkan saingan EPL di tangga ketujuh buat dua musim berturut-turut.

Beliau telah membuat 95 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai Wolves sebaik sahaja kembali ke saingan EPL di mana beliau berjaya menjaringkan 15 gol dan mencipta 15 bantuan jaringan.

Doherty turut pernah dipinjamkan ke Hibernian dan Bury pada dua musim awalnya ketika bersama Wolves.

Menyertai pasukan yang dibarisi pemain yang berkualiti tinggi dan turut dibimbing Jose Mourinho, Doherty perlu menggunakan kesempatan ini untuk meletakkannya sebagai antara pertahanan terbaik dalam saingan EPL.

Lawan sulung Matt Doherty dan rakan sepasukan baharunya dalam saingan EPL 2020/21 ialah Everton pada perlawanan yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium, dua minggu lagi.

Kredit featured image: Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Tottenham Hotspur:

Leave a Reply