Seperti dijangka, E. Elavarasan telah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.
Kenyataan media yang disiarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengesahkan Ketua jurulatih Sarawak united itu menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk membantu beliau dan barisan kejurulatihan sedia ada yang diumumkan baru-baru ini.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan Gon.
E. Elavarasan pula menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan untuk dirinya.
Siaran Media: Kim Pan Gon Pilih E. Elavarasan Penolong Jurulatih Harimau Malaya
Baca penuh di https://t.co/8EUGsPSanS
—-
Media Release: Kim Pan Gon Selects E. Elavarasan As Harimau Malaya Assistant Coach
Read more at https://t.co/8EUGsPSanS#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/1TFn109J3e
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 23, 2022
“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya.
Selain Sarawak United jurulatih berusia 60 tahun itu sebelum ini pernah melatih beberapa pasukan di Liga Malaysia seperti Felda United, PKNS FC, Melaka United dan juga PDRM.
Menurut Pan-gon, pemilihan Elavarasan menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.
Selain Elavarasan, Pan-gon turut akan dbantu oleh Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).