Pemain kebangsaan Syria, Jalil Elias secara rasminya kini telah pun menyertai Johor Darul Ta’zim untuk saingan musim hadapan bagi memperkukuhkan aspek posisi tengah kelab tersebut.
Jalil menjadi pemain pertama pada tahun ini untuk menyertai JDT selepas beberapa laporan terdahulu telah pun mengaitkan bintang dari Argentina ini bersama pasukan tersebut di media sosial.
Terdahulu, wartawan sukan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan Jalil Elias bakal mengukuhkan posisi tengah JDT pada musim hadapan.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri di laman X beliau selepas satu sesi temu bual turut diadakan membabitkan Zulhelmi bersama TMJ beberapa minggu lalu.
“Jalil Elias will be our player, yes,” jelas TMJ dan dikongsikan sendiri secara eksklusif oleh Zulhelmi mengenai pemain tengah yang sebelum itu beraksi bersama San Lorenzo.
Kenyataan mengenai Jalil bakal menyertai JDT bukan lagi sesuatu yang baharu, setelah salah seorang pengamal sukan di Argentina yang dikenali sebagai Cesar Luis Merlo yang menyatakan beliau akan meninggalkan San Lorenzo secara percuma untuk bersama pasukan tersebut bulan lalu.
“Ekslusif, Jalil Elias meninggalkan San Lorenzo secara percuma dan bermula Januari, dia akan beraksi di Malaysia.
“Pemain tengah tersebut telah pun menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT),” jelas kenyataan tersebut di Instagram.
Untuk rekod, Jalil sebelum itu memulakan karier beliau secara profesional bersama Newell’s Old Boys pada musim 2015 sehingga 2018 sebelum menyertai Godoy Cruz di Argentina.
Setelah itu, Union Santa Fe berjaya mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun tersebut secara pinjaman sebelum diikat rasmi San Lorenzo pada musim 2021 sehingga kini.
Beraksi di saingan teratas Argentina, pastinya Jalil memiliki banyak pengalaman berguna untuk dicurahkan bersama JDT pada musim hadapan yang sekali lagi akan beraksi dalam kejuaraan AFC Champions League (ACL).
Selain Jalil, dijangka beberapa lagi pemain import baharu pasukan tersebut turut akan diumumkan tidak lama lagi setelah TMJ menyatakan proses persiapan pasukan tersebut sudah pun hampir selesai.
JDT sebelum ini turut melepaskan beberapa pemain secara kekal dan pinjaman, dan kehadiran Jalil merupakan sebahagian daripada rombakan kecil dilakukan mereka musim hadapan.