RASMI: FIFA Lulus Penggunaan Sistem VAR DI Malaysia

Penantian buat Malaysia untuk menggunakan sistem Video Assistant Referee (VAR) akhirnya tamat dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini secara rasminya telah pun meluluskannya.

Ianya diumumkan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui Dato’ S. Sivasundram yang merupakan Timbalan Presiden serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil organisasi tersebut.

Menurut laporan tersebut, FIFA telah pun meluluskan penggunaan VAR untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak 29 April lalu bagi menghadapi musim 2024/2025 tidak lama lagi.

Sejak April lalu, dua wakil FIFA telah hadir ke Malaysia untuk menilai kemahiran pengadil di sini menggunakan sistem serta menguji keberkesanan VAR melalui beberapa ujian ditetapkan.

“Pengiktirafan FIFA ini sudah tentu merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia merupakan antara 68 negara yang mana FIFA telah memberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR.

“Delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, Bhaveshan Moorghan turut memuji persiapan serta kualiti pengadil VAR di Malaysia yang membawa kepada kelulusan penggunaannya pada saingan pada 10 Mei ini.

Keputusan untuk menggunakan sistem VAR di negara ini sebenarnya dicetuskan sendiri oleh Datuk Haji Hamidin Bin Mohd Amin sejak tahun 2023 selain idea beliau dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM dan kepimpinan tertinggi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Mengimbas kembali permulaan VAR di negara ini, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada Februari 2023 telah mencetuskan idea dan inisiatif untuk memperkenalkan VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025 dan ia telah mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan kepimpinan tertinggi MFL.

“Datuk Haji Hamidin kemudian telah bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina ketika beliau menghadiri Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda pada 16 Mac 2023 bagi membincangkan secara lebih lanjut mengenai perkara-perkara membabitkan teknologi VAR.

“Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April 2023 dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat tentang protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.

“Seterusnya FAM telah memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga April 2024 dengan melalui tiga fasa latihan.

“Hasilnya, FIFA telah mentauliahkan seramai 22 Pengadil sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil sebagai AVAR dan sembilan Pengadil sebagai Replay Operator.

“FAM juga turut melatih seramai 17 Penolong Pengadil untuk memahami protokol VAR dan akan dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.

“Sebagai langkah jangka panjang pula, FAM akan meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR. FAM turut akan membuat post-mortem perlawanan (post match review) sebagai langkah pengkukuhan dan pemurnian pendidikan VAR.

“FAM juga akan memulakan latihan VAR fasa kedua untuk menambahkan lagi bilangan pengadil-pengadil VAR. Usaha ini akan dimulakan dalam masa terdekat ini.

“Ini membuktikan bahawa Datuk Haji Hamidin dan FAM sangat komited dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi pengadil-pengadil bola sepak di negara ini.

“Sebagai rumusan, pelaksanaan VAR di Liga Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil-pengadil kita dipilih untuk bertugas di peringkat AFC dan FIFA.

“Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga diharap akan mampu meningkatkan mutu bola sepak negara amnya,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehingga kini, beberapa aksi pramusim membabitkan kelab tempatan sudah pun menggunakan sistem VAR seperti perlawanan membabitkan Sri Pahang dan Terengganu.

Malah, aksi persahabatan semalam juga menyaksikan Kedah Darul Aman (Kedah) serta Penang turut menguji keberkesanan sistem tersebut di Stadium Darul Aman.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN