Laju betul kerja dilakukan oleh Jurgen Klopp ya?
Beberapa hari selepas tewas dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) di tangan Real Madrid, Liverpool terus mengumumkan pembelian baharu mereka.
Liverpool telah mengesahkan perpindahan pemain tengah AS Monaco iaitu Fabinho dengan nilai perpindahan sekitar £39 juta.
Liverpool dijangka akan membayar tambahan sekitar £4 juta kepada AS Monaco sebagai bonus berdasarkan prestasi Fabinho bersama Liverpool.
Pengesahan perpindahan ini menyaksikan musuh tradisi Liverpool, Manchester United terlepas peluang untuk mendapatkan pemain Brazil ini.
Hal ini kerana, Manchester United dikatakan sudah lama berminat untuk mendapatkan beliau.
Klopp berkata beliau cukup gembira untuk mendapatkan Fabinho yang disifatkan beliau sebagai pemain yang cukup verstail.
Perkara ini boleh dibuktikan kerana pemain tersebut boleh bermain di posisi pemain tengah bertahan dan juga pertahanan kanan.
“Fabinho mempunyai kebolehan dan mentaliti untuk bermain di tahap tertinggi dalam pelbagai posisi.”
“Beliau boleh bermain sebagai pemain tengah dan juga pemain pertahanan. Ini satu perkara yang hebat!”
Menurut Fabinho, beliau berharap sejarah boleh dicipta beliau bersama kelab ini.
“Apabila kelab sebesar ini datang untuk mendapatkan khidmat saya, saya tak perlu berfikir panjang untuk berkata ‘ya’ kepada mereka.”
“Saya akan cuba cipta sejarah saya sendiri bersama kelab ini. Diharap, pada tahap peribadi, saya mampu memenangi piala bersama pasukan ini.”
Perpindahan ini juga memberikan petanda besar Emre Can akan meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat pada akhir musim ini.