Penyerang muda sensasi RB Salzburg yang menjadi buruan kelab-kelab ternama Eropah, Erling Haaland akhirnya memilih Borussia Dortmund sebagai destinasi terbaharu buat kariernya.
Borussia Dortmund dilaporkan mengikat penyerang berusia 19 tahun itu sehingga musim panas 2024 dengan nilai perpindahan berjumlah €20 juta.
Dalam perkembangan yang sama, sumber Goal turut menyatakan bahawa Haaland akan menyertai kelab Bundesliga itu pada 3 Januari nanti.
Penyudah tajam di hadapan gol yang dimiliki Erling Haaland nyata mencuri tumpuan dan ia dibuktikan dengan 28 gol dihasilkannya dalam 22 perlawanan pada musim ini, termasuk lapan jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
”Saya telah membuat perbincangan secara intensif bersama barisan pengurusan kelab [Borussia Dortmund], terutamanya dengan Hans-Joachim Watzke, Micheal Zorc dan pengurus pasukan, Lucian Favre.”
”Sejak dari mula saya sudah merasakan yang saya ingin menyertai kelab ini, untuk merasai sendiri suasana di hadapan lebih 80,000 penyokong Dortmund. Saya amat teruja untuk memulakannya.”
Perkembangan terkini tersebut telah menutup terus spekulasi hebat yang melibatkannya dengan perpindahan ke Manchester United.
Kredit foto: Borussia Dortmund