Selepas pelbagai spekulasi menyelubungi perancang Tottenham Hotspur, Christian Eriksen akhirnya telah pun disahkan sebagai pemain Inter Milan.
Beliau yang sudah menunjukkan tanda-tanda mahu berpindah dari kelab utara London itu akhirnya diperkenalkan oleh Inter Milan menerusi laman media sosial mereka.
Setakat ini tiada sebarang angka didedahkan mengenai nilai perpindahan pemain tersebut ke Itali. Namun begitu, kontrak mengatakan yang Eriksen akan kekal di kelab itu sehingga Jun 2024.
Ini bermakna, pemain kebangsaan Denmark itu mengikat kontrak selama 4 tahun setengah bersama pencabar Serie A itu.
Antonio Conte kini giat mengumpulkan pemain-pemain yang beraksi di Premier League untuk membantunya mencabar kejuaraan domestik Itali dan juga Eropah.
Beliau sebelum ini mendapatkan Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Ashley Young dari Manchester United, Victor Moses dari Chelsea dan kini Eriksen.
Kehadiran Eriksen dijangka akan memberikan kreativiti kepada skuad Inter Milan dalam merencana bahagian serangan pasukan itu ketika memburu gol.