Chelsea terus menjadi sebutan pada jendela perpindahan kali ini apabila telah mengumumkan kehadiran bekas pemain pertahanan Nice, Malang Sarr, sebentar tadi.
Malang yang sebelum ini bergelar ejen bebas telah diikat oleh juara Liga Perdana Inggeris (EPL) lima kali itu selama lima tahun dan dilaporkan akan dipinjamkan ke pasukan lain pada saingan musim baharu nanti.
Ia bertujuan untuk memberikan lebih minit permainan buat pemain berusia 21 tahun itu sebelum bakal bersaing hebat untuk merebut tempat di skuad utama The Blues.
Selain beraksi sebagai pertahanan tengah, Sarr boleh diletakkan sebagai pemain di bahagian kiri untuk ‘back three’ dan turut mampu beraksi di posisi bek kiri.
Kualiti yang dimilikinya turut menarik minat Bayer Leverkusen, Schalke 04 serta beberapa kelab Itali untuk mendapatkan khidmatnya. Arsenal juga sebelum ini dikatakan berminat untuk membawa masuk pemain yang membuat 119 penampilan sepanjang empat musim bersama Nice.
”Peluang untuk menandatangani Malang adalah sesuatu yang tidak boleh kami [Chelsea] lepaskan,” ujar Pengarah, Marina Granovskaia di laman sesawang rasmi Chelsea.
”Dia merupakan prospek yang luar biasa dan kami akan memantaunya dengan rapat ketika tempoh pinjamannya, dengan harapan dia akan cepat kembali ke Chelsea.”
”Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan kehadirannya bersama kelab ini pada hari ini,” tambah Marina lagi.
Malang Sarr telah bersama Nice sejak berusia lima tahun dan menjadi pilihan di kesebelasan utama buat pertama kali pada usia 17 tahun.
Beliau bermula dengan cukup baik apabila berjaya menjaringkan gol sewaktu penampilan sulungnya ketika bertemu Rennes dalam saingan Ligue 1 yang berlangsung pada Ogos 2016.
Kredit featured image: TF-Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Chelsea: