Pemain Terengganu dan juga bekas bintang kebangsaan, Ashari Samsudin kini secara rasminya telah bersara dari persada bola sepak profesional.
Menurut laman Teganu Kita, pemain yang digelar sebagai Si Pembunuh Senyap atau The Silent Killer memilih untuk menamatkan karier beliau pada usia 34 tahun.
Keputusan untuk bersara itu tidak dihalang oleh ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain dan beliau begitu menghormati keputusan yang dilakukan oleh pemain itu.
“Kami telah menawarkan kontrak kepada beliau sejak awal lagi. Kami amat perlukan beliau kerana Ashari adalah seorang pemain tempatan yang berkualiti.”
“Tetapi keputusan untuk bersara itu adalah pilihan dirinya, dan kami amat menghormati keputusannya itu.”
Asaari menghabiskan kariernya dengan hanya mewakili dua pasukan iaitu Terengganu dengan Pahang. Beliau memulakan kariernya bersama Terengganu pada 2005 sehingga 2016 dengan melakukan lebih daripada 200 penampilan.
Beliau kemudiannya ke Pahang selama semusim pada 2017 sebelum kembali ke Terengganu pada tahun berikutnya.
Ashari memenangi satu kejuaraan bersama Terengganu iaitu Piala FA Malaysia 2011 menewaskan Kelantan.
Bekas pemain kebangsaan ini juga merupakan pemenang kasut emas Liga Super 2010 dengan 18 jaringan – enam gol mengatasi Safee Sali di tempat kedua dengan 12 gol.
Bersama skuad negara, Ashari melakukan 15 penampilan dengan menghasilkan tiga gol. Salah satu gol mashyurnya adalah ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF 2010 menentang Indonesia di Bukit Jalil dengan rembatan padu dari luar kotak beliau menewaskan penjaga gol lawan.
Selamat bersara buat Ashari Shamsudin, semoga berjaya dalam apa sahaja anda lakukan selepas ini!