Penyerang muda Chelsea yang kini dipinjamkan ke Swansea City, Tammy Abraham dijangka akan melakukan kaps antarabangsa pertamanya bersama England pada perlawanan menentang Jerman di Wembley esok.
Pemain berusia 20 tahun yang telah menghasilkan 4 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini memuji kelibat dua pemain muda Manchester United iaitu Marcus Rashford dan Jesse Lingard sekaligus duo pemain tersebut memberikan keyakinan kepada dirinya.
”Pemain muda ini begitu lincah dan sekiranya anda melihat kepada aksi Marcus Rashford dan Jesse Lingard, anda dapat menyaksikan mereka merupakan pemain yang meyakinkan,” ulas Abraham kepada media menjelang perlawanan persahabatan tersebut.
”Keadaan ini membuatkan anda turut mempunyai keyakinan yang baik dalam diri anda sendiri apabila berpeluang untuk bermain bersama-sama pemain berbakat seperti mereka.”
Abraham mengharapkan agar dapat mempamerkan aksi yang meyakinkan pada perlawanan menentang Jerman dan seterusnya mendapat peluang pada pertemuan dengan Brazil pada minggu hadapan.
Dalam pada itu, Abraham turut mendedahkan bahawa matlamat masa panjangnya ketika ini adalah untuk memecah masuk ke skuad utama Chelsea.
”Fokus utama saya adalah bersama Swansea City tetapi matlamat utama saya adalah untuk berada di dalam skuad utama Chelsea.”
”Ianya tidak mudah, anda lihat kepada para pemain yang mereka (Chelsea) miliki, tetapi saya perlu untuk bekerja dengan lebih keras yang saya mampu.”
”Saya mahu buktikan kepada dunia yang mampu untuk melakukannya.”
Tammy Abraham yang merupakan produk keluaran Akademi Chelsea telah bersama kelab London tersebut sejak tahun 2004. Ketika itu beliau mewakili skuad bawah 8 tahun Chelsea.