Pertahanan Perancis, Raphael Varane memuji rakan sepasukannya, Kylian Mbappe dan menyifatkan pemain muda tersebut mempunyai kualiti permainan yang setanding bintang Brazil, Ronaldo.
Pemain berusia 19 tahun itu memainkan peranan penting ketika Perancis menumpaskan Argentina 4-3 di peringkat 16 terbaik dengan menjaringkan 2 gol.
Aksinya ketika menentang Argentina sekaligus menenggelamkan tumpuan ramai terhadap Lionel Messi serta mendapat perhatian Varane yang menganggap Mbappe mampu untuk mencapai potensi terbaiknya.
”Kylian (Mbappe) mempunyai banyak bakat dan juga pantas tetapi dia masih sangat muda.”
”Dia mempunyai kualiti yang sama seperti Ronaldo, pemain Brazil, tetapi dia juga mempunyai sesuatu yang berbeza.”
”Dia gemar menggelecek, dia suka belajar dan kami gembira kerana memiliki pemain sepertinya.”
Prospek masa depan Perancis yang begitu cerah ini beraksi untuk Paris Saint-Germain pada musim 2017/18 dan berjaya menyumbangkan 21 gol serta mencipta 16 bantuan jaringan pada 46 penampilannya bersama kelab.
Varane ketika ditanya sama ada kemungkinan Mbappe akan menyertainya di Santiago Bernabeu, beliau berkata:
”Dia akan berjaya dengan mana-mana pasukan yang disertainya.”